Peniaga, pemborong ayam dikompaun RM101,300

Sejumlah 121 kompaun bernilai RM101,300 dikeluarkan KPDNHEP Johor terhadap peruncit dan pemborong di negeri ini sejak awal Februari hingga kini. Gambar hiasan.
Sejumlah 121 kompaun bernilai RM101,300 dikeluarkan KPDNHEP Johor terhadap peruncit dan pemborong di negeri ini sejak awal Februari hingga kini. Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sejumlah 121 kompaun bernilai RM101,300 dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor terhadap peruncit dan pemborong di negeri ini sejak awal Februari hingga kini.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, kompaun tersebut kerana mereka tidak mematuhi Penentuan Harga Maksimum (PHM) Ayam dan Telur sejak dikuatkuasakan pada 5 Februari lalu.

"Sepanjang tempoh ini pihak KPDNHEP Johor telah memeriksa 4,487 premis melibatkan 4,321 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 166 pemeriksaan di peringkat pemborong dan pengeluar.

"Pemeriksaan dan tinjauan stok bekalan ayam turut dijalankan di setiap peringkat rantaian pengedaran bagi memastikan tiada isu terputus bekalan ayam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, sehingga Isnin semua 33 aduan orang ramai yang diterima KPDNHEP Johor berkaitan kenaikan harga serta bekalan ayam telah selesai disiasat dan diambil tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Jelasnya, antara tindakan diambil disebabkan kesalahan gagal pamer harga jualan dan menjual melebihi harga kawalan ditetapkan.

Pihaknya ambil maklum isu serta aduan berkaitan kedudukan bekalan serta kenaikan harga ayam terutamanya di lokasi tumpuan iaitu di pasar awam dan pasar basah sejak akhir-akhir ini.

Sehubungan itu katanya, KPDNHEP Johor telah meningkatkan pemeriksaan di seluruh Johor ke atas semua jenis pasar seperti pasar basah, pasar awam, pasar tani dan juga pasar raya yang menjual ayam.