Pemilihan PKR: Keputusan tangguh, lapan cabang undi semula

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengundian fizikal semula Pemilihan PKR 2022 bagi lapan cabang di empat negeri akan dilaksanakan sebelum akhir bulan ini dan keputusan tidak rasmi pemilihan parti hanya akan diketahui selepas proses pengundian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya belum memuktamadkan tarikh bagi pengundian semula di lapan cabang yang melibatkan cabang Gua Musang, Pengkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan, Dungun (Terengganu), Hulu Selangor (Selangor) dan Padang Serai (Kedah).

Beliau berkata, pengundian semula di lapan cabang tersebut disebabkan beberapa masalah termasuk masalah teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

"Kita juga menerima bantahan di beberapa cabang dan JPP sedang membincang serta menilai semua bantahan tersebut. Jika terpaksa membuat pengundian semula, kami akan lakukan juga secara serentak dengan pengundian lapan cabang tersebut," katanya kepada Bernama pada Isnin

Justeru beliau berkata, keputusan tidak rasmi pemilihan parti berusia 23 tahun yang dijadualkan untuk dipaparkan di laman web rasmi PKR pada Isnin terpaksa ditangguhkan dan ia hanya akan diketahui dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian semula cabang-cabang berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan lima cabang di Kelantan, Dungun dan Padang Serai telah mengalami masalah teknikal ketika pengundian fizikal manakala cabang Hulu Selangor terpaksa ditangguhkan berikutan peralatan logistik seperti kerusi dan meja tidak disediakan.

Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan sebanyak 57 daripada keseluruhan 222 cabang telah menang tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat cabang pada Pemilihan PKR 2022.

Katanya, sebanyak 12.22 peratus iaitu 136,629 ahli PKR telah mengundi dalam pemilihan parti setakat semalam, termasuk 76,932 yang mengundi secara dalam talian sejak 18 Mei sehingga 20 Mei.

Seramai 1,118,423 ahli PKR layak mengundi pada Pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayapnya.

Pencalonan bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMK) dan Ahli Majlis Wanita Keadilan Pusat (MPWP) dijadualkan pada 28 Mei.

Pengumuman rasmi calon yang menang jawatan pada Pemilihan PKR 2022 akan diumumkan pada 25 Jun depan sempena Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, pada kongres tahunan masing-masing. -Bernama