SK Jeliang perlu RM1.5 juta ganti bangunan usang

Bangunan usang di SK Jeliang yang terpaksa digunakan oleh pihak sekolah untuk kegunaan murid kerana tidak mempunyai kawasan lain yang lebih sesuai.
Bangunan usang di SK Jeliang yang terpaksa digunakan oleh pihak sekolah untuk kegunaan murid kerana tidak mempunyai kawasan lain yang lebih sesuai.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sekolah Kebangsaan (SK) Jeliang memerlukan RM1.5 juta untuk membina bangunan baharu menggantikan bangunan usang yang didirikan sejak tahun 1954.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya memandang serius keperluan sekolah berkenaan kerana terdapat dua kelas yang terpaksa menggunakan bangunan tersebut bagi proses pengajaran dan pembelajaran selain dijadikan dewan.

Menurut Saarani, pihak sekolah terpaksa menggunakan bangunan tersebut dengan penuh waspada kerana tidak ada kawasan lain yang boleh digunakan sebagai kelas.

"Kami terima laporan mengenai keadaan bangunan sekolah ini dan datang sendiri lihat serta mengesahkan bahawa ia perlu diganti segera oleh kerana JKR telah mengesahkan bangunan ini tidak selamat.

"Jadi menjadi tanggungjawab kami untuk menyelesaikannya dan akan usahakan sesegera mungkin.

"Saya dah bincang tadi dan akan berhubung dengan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) untuk mencari peruntukan yang boleh digunakan bagi pembinaan bangunan baharu itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke SK Jeliang, pada Isnin.

Menurutnya, berdasarkan perancangan sekolah, bangunan baharu yang akan dibina itu setinggi dua tingkat dengan bahagian bawah dijadikan dewan terbuka dan bahagian atas pula dijadikan kelas dan pejabat.

Sementara itu, Saarani berkata, lawatan ke sekolah tersebut merupakan salah satu program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) bagi Parlimen Kuala Kangsar.

Selain sekolah tersebut, beliau meninjau projek tebatan banjir dan menyelesaikan beberapa masalah dibangkitkan oleh penduduk kampung yang terlibat dengan projek tersebut.

"Projek tebatan banjir ini menelan belanja lebih RM18 juta tetapi RM12 juta daripadanya melibatkan pengambilan tanah manakala RM6 juta lebih sahaja untuk projek tebatan itu.

"Nak siapkan projek itu dengan segera bagi membolehkan aliran Sungai Perak dialihkan jika berlaku limpahan untuk mengelakkan banjir di kawasan itu," katanya.

Menurutnya, program Mesra bagi Parlimen Kuala Kangsar itu berlangsung pada Ahad dengan beberapa program diatur dengan masyarakat setempat.