Mineral baharu lantanid ditemui di Hulu Perak

 Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perak mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak selain bijih timah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penemuan tersebut diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut yang dikenal pasti cukup bernilai.

Menurutnya, projek rintis bagi mendapatkan mineral tersebut dilaksanakan di dalam kawasan milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) di Hulu Perak.

"Kita telah melalui semua proses untuk mendapatkan kelulusan Jabatan Alam Sekitar menerusi laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA).

"Minggu lepas kita dah dapat surat kelulusan EIA dan meluluskan pilot project tersebut. Syarikat yang diberi tanggungjawab itu akan menggunakan kelulusan berkenaan untuk mengesahkan mineral tersebut adalah radioaktif atau bukan radioaktif," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeliang, di sini pada Isnin.

Saarani (tengah) bersama murid SK Jeliang, di sini selepas mengadakan lawatan di sekolah berkenaan pada Isnin.
Saarani (tengah) bersama murid SK Jeliang, di sini selepas mengadakan lawatan di sekolah berkenaan pada Isnin.

Saarani berkata, jika mineral tersebut bukan radioaktif, Perak akan mendapat sumber mineral baharu sekali gus menambah pendapatan negeri.

Jelasnya, mineral tersebut digunakan untuk produk-produk elektronik seperti telefon pintar dan jam.

Ditanya keluasan dan jumlah mineral yang ditemui, Saarani berkata, perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum.

Menurutnya, mineral tersebut ditemui dalam jumlah yang banyak.