TMJ cabar Sanusi dedah individu 'kawal’ Liga Malaysia

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
A
A
A

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat pendedahan berhubung dakwaannya bahawa terdapat individu tertentu ‘mengawal’ Liga Malaysia.

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menerusi laman Twitter miliknya pada Isnin menggesa Muhammad Sanusi agar menceritakan segala-galanya serta mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan oleh beliau.

"Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segalanya, ini cakap main sembur badut McDonald pun boleh.

"Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam, terus buat cerita sensasi nak naikkan 'rating'. Sikap tipikal ahli politik," tulis TMJ menerusi ciapan tersebut.

Menerusi program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada Sabtu lalu, Muhammad Sanusi mengulangi pendiriannya untuk menolak budaya 'supreme' atau memberikan kuasa penuh kepada seseorang individu dalam sukan bola sepak.

Beliau mendakwa, terdapat individu yang mahu pihak tertentu mengikut telunjuknya.

Malah katanya, lebih dahsyat individu terbabit sanggup memberi bonus kepada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan Kedah dalam saingan Liga Malaysia.

"Dia 'order' sana, 'order' sini, suruh buat ini, suruh buat itu, kawan (ada pihak) nak pergi latihan sana, kena tanya dia dahulu.

"Lepas itu dia pusing pasukan lain, beri bonus kalau menang dengan Kedah. Saya tahu semua itu, dia ingat orang tak tahu, jangan bagi saya cerita semuanya," katanya.

Muhammad Sanusi sebelum ini mengeluarkan satu kenyataan bahawa sukan bola sepak untuk semua dan bukannya individu tertentu sehinggakan ada yang perlu menyembah ‘tokong’.

Beliau mendakwa, semua mata kini tertumpu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan terdapat beberapa kejadian yang didakwa sangat pelik pernah berlaku dalam arena bola sepak tanah air.

Pergeseran antara Muhammad Sanusi dan Tunku Ismail dilihat menjadi punca JDT memanggil semula Syafiq Ahmad untuk kembali ke pangkuan pasukan dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Ini kerana tempoh pinjaman Syafiq kepada Lang Merah belum genap setahun seperti yang dipersetujui sebelum ini, dan dia baru beraksi dalam sembilan perlawanan sahaja.