Sila log masuk terlebih dahulu.

Pembantu kedai makan didenda RM2,500

Gabriele Jungkak (kiri) dibawa anggota polis ke kamar perbicaraan Mahkamah Majistret Kulai pada Isnin.
Gabriele Jungkak (kiri) dibawa anggota polis ke kamar perbicaraan Mahkamah Majistret Kulai pada Isnin.
A
A
A

KULAI - Seorang pembantu kedai makan didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan melakukan khianat dengan mengambil dan membuang ke dalam tong sampah patung hiasan milik orang lain, pada 15 Mei lalu.

Tertuduh, Gabriele Jungkak Anak Steward, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Mengikut pertuduhan, Gabriele Jungkak didakwa melakukan khianat dengan mengambil patung hiasan bernilai RM25 milik seorang pengadu sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Scientex di sini, kira-kira jam 9 pagi pada 15 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, dikenakan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Gabriele Jungkak berkata, dia bertindak membuang patung itu kerana mengganggunya selain mendakwa pernah membuang serta membakar patung lain di kawasan lain.

Sharifah Maleeha bagaimanapun dalam hujahnya menasihatkan tertuduh tidak mensia-siakan hidupnya selain belajar untuk hidup berjiran.

Beliau juga menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan polis memburu seorang lelaki kerana dipercayai bertindak membuang sebuah patung kepercayaan masyarakat Hindu dalam satu kejadian di Taman Scientex.

Perbuatan lelaki itu dipercayai terbongkar selepas satu rakaman video yang memaparkan kelakuan tidak bermoralnya itu tular di laman sosial Facebook.