Milan tamatkan penantian 11 tahun Scudetto

Piolli (tengah) meraikan kejayaan menamatkan penantian 11 tahun Scudetto bersama pemain Milan.
Piolli (tengah) meraikan kejayaan menamatkan penantian 11 tahun Scudetto bersama pemain Milan.
A
A
A

AC Milan menamatkan penantian 11 tahun mereka untuk memenangi Scudetto ke-19 dalam sejarah kelab mereka apabila menumpaskan Sassuolo 3-0 di Reggio Emilia awal pagi Isnin.

Milan yang hanya memerlukan keputusan seri untuk menoktahkan kejuaraan liga meraih kemenangan hasil dua jaringan Olivier Giroud pada minit ke-17 dan ke-32 sebelum Franck Kessie meletakkan pasukannya selesa dengan kelebihan tiga gol pada babak pertama.

“Mereka luar biasa. Mereka menunjukkan aksi yang lebih konsisten berbanding Inter.

“Perlawanan terakhir yang kami tewas adalah menentang Spezia pada Januari yang sepatutnya kami tidak kalah.

"Pasukan tidak pernah berputus asa dan semua pemain adalah hebat. Kami layak sepenuhnya meraih Scudetto,” kata pengendali Milan, Stefano Pioli.

Dalam pada itu penyerang Milan, Zlatan Ibrahimovich yang sebelum ini pernah membawa pasukan itu memenangi Scudetto satu ketika dahulu, gembira apabila sekali lagi berjaya melakukan perkara tersebut.

“Dua tahun lalu keadaannya cukup sukar. Bagaimanapun ketika kembali ke sini saya kata akan membawa Milan kembali ke puncak dan memenangi gelaran.

“Kami bekerja keras dan akhirnya menikmati kejayaan. Ini adalah kumpulan pemain hebat,” katanya.