X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Pelabur asing kekal pembeli bersih, aliran masuk bersih RM26.15 juta

MIDF Research memaklumkan pelabur asing terus menjadi pembeli bersih untuk minggu berakhir 20 Mei mencatatkan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM26.15 juta. Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih untuk minggu berakhir 20 Mei, mencatatkan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM26.15 juta, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research).

Dalam Laporan Aliran Dana mingguannya pada Isnin, firma itu berkata, peruncit tempatan bertukar menjadi penjual bersih selepas lima minggu berturut-turut menjadi pembeli bersih, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM8.03 juta.

"Sementara itu, institusi tempatan pula terus menjadi penjual bersih dengan kedudukan jualan bersih sebanyak RM18.12 juta minggu lepas,” kata firma penyelidikan itu.

MIDF Research berkata, sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih untuk tempoh 16 daripada 20 minggu bagi tahun 2022, mencatatkan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM7 bilion.

"Mereka adalah penjual bersih pada Selasa dan Rabu, masing-masing merekodkan RM51.97 juta dan RM10.60 juta,” tambahnya.

Sementara itu, institusi tempatan merupakan pembeli bersih pada Selasa dan Rabu, masing-masing mencatatkan RM57.68 juta dan RM13.23 juta.

Menurut MIDF Research, jualan bersih tertinggi dicatatkan pada hari Jumaat pada RM63.07 juta manakala jualan bersih paling sedikit pada Khamis sebanyak RM25.96 juta.

Firma itu menambah institusi tempatan telah menjadi penjual bersih selama 17 daripada 20 minggu setakat tahun ini, menjual ekuiti berjumlah sehingga RM8.11 bilion.

"Peruncit tempatan merupakan penjual bersih dari Selasa hingga Khamis dengan jumlah jualan bersih RM13.55 juta.

"Dengan pengecualian hari Jumaat, peruncit tempatan merekodkan belian bersih sebanyak RM5.52 juta untuk minggu itu,” katanya.

Dari segi penyertaan, pelabur asing menyaksikan peningkatan purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 13.14 peratus manakala peruncit tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 1.06 peratus dan institusi tempatan turut merosot sebanyak 0.75 peratus.

MIDF Research berkata Malayan Banking Bhd merekodkan aliran masuk wang bersih tertinggi sebanyak RM2.92 juta minggu lepas manakala Inari Amertron Bhd menyaksikan aliran keluar wang bersih terbesar sebanyak RM2.30 juta. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!