Nilai ringgit tidak berubah berbanding dolar AS pagi ini

Nilai ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS pagi Isnin walaupun mesyuarat kabinet hari ini akan membincangkan isu berkaitan kos sara hidup dan bekalan makanan - Gambar hiasan
Nilai ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS pagi Isnin walaupun mesyuarat kabinet hari ini akan membincangkan isu berkaitan kos sara hidup dan bekalan makanan - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS pagi Isnin walaupun mesyuarat kabinet hari ini akan membincangkan isu berkaitan kos sara hidup dan bekalan makanan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.3870/3915 berbanding dolar AS daripada 4.3870/3910 pada penutup Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan sedang berusaha membincangkan jurang semasa dalam isu bekalan makanan.

"Isu-isu mengenai isu makanan semakin menjadi tumpuan dan kerajaan dijangka mengambil langkah untuk menangani jurang semasa itu," katanya kepada Bernama.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memberi taklimat kepada Jemaah Menteri mengenai isu-isu ini, termasuk rancangan jangka pendek dan panjang untuk mengatasi masalah berkenaan.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, pertukaran asing Asia akan stabil tidak lama lagi berikutan pembukaan semula China daripada sekatan pergerakan yang berpanjangan, pada 1 Jun.

"Sekiranya China boleh membina semula ekonomi yang selamat dan sihat, maka ringgit akan mengukuh dari masa ke masa,” katanya.

Bagaimanapun, peniaga akan turut memerhati dan mengawasi sentimen risiko global terutamanya apabila kebimbangan terhadap pertumbuhan kian meningkat.

"Justeru, ini boleh mengehadkan keuntungan ringgit memandangkan sensitiviti mata wang terhadap eksport," tambahnya.

Ringgit, bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai ringgit kekal berbanding dolar AS kepada 3.1845/1883 daripada penutupan Jumaat pada 3.1845/1879, lebih rendah berbanding yen Jepun menjadi 3.4354/4392 daripada 3.4236/4270 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.4934/4990 berbanding 5.4732/4782.

Namun begitu, ringgit menambah nilai berbanding euro kepada 4.6414/6462 daripada 4.6445/6488 pada Jumaat. -Bernama