X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

MRTM Aidilfitri 2022 ketengahkan seni budaya tarik pelancong

Ismail Sabri (kiri) memukul beduk sebagai simbolik pelancaran sekali gus merasmikan MRTM Aidilfitri 2022 yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Drawbridge.
A
A

Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mei lalu oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu di Dataran Drawbridge di sini menyemarakkan lagi aktiviti pelancongan budaya di negara ini.

Majlis yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu dipenuhi dengan pelbagai acara sekali gus mengubat kerinduan masyarakat terhadap kemeriahan sambutan perayaan selepas dua tahun tidak bebas bergerak akibat pandemik Covid-19.

Ismail Sabri ketika berucap pada perasmian berkata, Keluarga Malaysia seharusnya bersyukur dengan nikmat keamanan dan keharmonian hasil kestabilan politik serta kerjasama ramai walaupun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik serius termasuk konflik Rusia-Ukraine di samping kekejaman tentera rejim Israel di Palestin.

Katanya, ketika Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, umat Islam di negara bergolak seperti Palestin, Syria, Afghanistan dan Libya pula menyambutnya dengan linangan air mata.

“Inilah peri pentingnya keamanan yang hanya dapat dikecapi dengan sikap saling hormat-menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang kaya dengan pelbagai budaya dan kepercayaan,” katanya.

Hadir sama, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, kata beliau, Malaysia merekodkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 April lalu yang memberi kelegaan kepada semua sektor termasuk pelancongan antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Malaysia menerima kemasukan seramai 604,457 warga asing sejak pintu sempadan antarabangsa dibuka semula pada tarikh sama, 1 April.

“Berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia setakat 12 Mei. Daripada jumlah itu, sebanyak 93.8 peratus atau 567,025 orang merupakan pelancong.

“Kita menyasarkan seramai dua juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun ini dengan pendapatan sebanyak RM8.6 bilion,” katanya.

Pilihan tepat

Nancy yang berucap pada MRTM Aidilfitri 2022 menyifatkan pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah adalah tepat.
Nancy yang berucap pada MRTM Aidilfitri 2022 menyifatkan pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah adalah tepat.

Sementara itu, Nancy menjelaskan, pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah MRTM Aidilfitri 2022 adalah tepat kerana kaya dengan pemandangan serta memiliki pelbagai destinasi menarik yang boleh diangkat sebagai elemen pelancongan dalam mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Terengganu dilihat sebagai sebuah negeri yang berpotensi besar menjadi destinasi pelancongan utama negara kerana kaya dengan produk pelancongan berteraskan alam semula jadi, keunikan budaya kesenian, warisan dan tinggalan sejarah tersendiri,” katanya.

Program MRTM Aidilfitri 2022 yang julung kali diadakan di Terengganu ini adalah selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2020-2030 yang mengangkat budaya bangsa sebagai satu entiti berdaya tahan dalam mengekalkan peradaban dan tamadun bangsa.

Sementara itu, penaja program Rewang Raya, Datuk Michael Liew Kit Seong berkata, beliau berbesar hati dapat menyumbang sebanyak RM15,000 bagi memeriahkan lagi sambutan acara Rewang Raya sempena MRTM Aidilfitri 2022.

“Saya gembira kerana dapat bersama -sama memeriahkan MRTM Aidilfitri 2022. Sebanyak tiga ekor lembu disembelih untuk dijamu dan diagihkan kepada masyarakat terutama golongan asnaf dan komuniti di sini,” katanya.

Rewang Raya memperkenalkan resipi asal Terengganu melalui masakan utama gulai daging kawah yang digemari seluruh rakyat negeri itu.

Pengunjung teruja

Rata-rata pengunjung yang ditemui begitu teruja menyertai MRTM Aidilfitri 2022 dan menyifatkan ia sebagai satu program hebat dan dipenuhi dengan pelbagai informasi berkaitan kebudayaan negara.

Suzana
Suzana

Suzana Idris, 26, berkata, MRTM Aidilfitri 2022 memberi kelainan terhadap sambutan Aidilfitri kerana dipenuhi dengan pelbagai pameran yang memberi input berguna kepada pe ngunjung.

“Sambutannya sangat meriah dengan pengunjung yang teruja hadir ke majlis besar sebegini. Masing-masing gembira selepas kita semua tidak dapat beraya selama dua tahun,” katanya.

Muhammad Haizi
Muhammad Haizi

Muhammad Haizi Ibrahim, 34, pula menyifatkan MRTM Aidilfitri 2022 sebagai program paling besar yang belum pernah diadakan di sini, sekali gus menambahkan lagi daya tarikan daerah ini.

“Program ini paling besar pernah diadakan dan ia diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri. Kesemua acaranya meriah dan banyak gerai boleh dikunjungi. Banyak input menarik yang saya dapat,” katanya.

Hamirafizan
Hamirafizan

Seorang lagi pengunjung, Hamirafizan Mohd Hatta, 47, mengetahui tentang program ini melalui hebahan di radio dan hadir lebih awal bersama keluarga bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

“Kita bertuah selepas dua tahun tidak dapat beraya dapat pula berkumpul dalam suasana begini. MRTM Aidilfitri 2022 ini seperti beraya pada zaman dahulu dan pelbagai pendedahan ada di sini,” katanya.

Sakinah
Sakinah

Sementara itu, Sakinah Hawa Izram, 36, menyifatkan MRTM Aidilfitri 2022 sebagai satu sambutan hari raya paling meriah pernah dirasai.

“Banyak pengisian berguna sepanjang program ini terutama dalam mendidik masyarakat berkaitan budaya. Saya amat meminati kebudayaan dan sangat teruja dapat hadir ke sini.

“Keseluruhan program ini wajar dipuji dan rakyat dapat melihat kesungguhan pihak kementerian menganjurkan program ini,” katanya.

Antara aktiviti MRTM Aidilfitri 2022

- Rewang raya
- Kenduri rakyat
- Pertandingan lumba perahu
- Himpunan keris
- Gateh busana
- Kambing cantik
- Pertandingan ayam ratu
- Zoo kampung
- Wau gegok damak
- Tok dekor jangok
- Tewah ngail
- Gasing terbang
- Bot berhias
- Persembahan kesenian
- Bengkel dan kelas masakan warisan
- Demonstrasi makanan warisan
- Ceramah agama
- Pertandingan memancing berbusana tradisional


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!