6 tahanan Palestin larikan diri dari jel Israel dihukum penjara

Gambar fail menunjukkan penjara Gilbao di utara Israel iaitu tempat enam tahanan Palestin berjaya meloloskan diri pada tahun lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan penjara Gilbao di utara Israel iaitu tempat enam tahanan Palestin berjaya meloloskan diri pada tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - Enam penduduk Palestin dijatuhi hukuman penjara tambahan selama lima tahun pada Ahad kerana melarikan diri pada tahun 2021 melalui terowong dari sebuah penjara di utara Israel, kata peguam mereka kepada media Israel.

Keenam-enam itu yang sedang menjalani hukuman seumur hidup atas kesalahan melakukan serangan anti-Israel bertindak melarikan diri pada 6 September tahun lalu dari penjara Gilbao melalui terowong yang digali di bawah sinki.

Dipuji sebagai 'wira' oleh penduduk Palestin, tindakan meloloskan diri dari penjara tersebut menyebabkan keenam-enam lelaki tersebut diburu Israel dalam operasi secara besar-besaran dengan menggunakan anggota-anggota tentera dan dron sebelum mereka berjaya ditangkap beberapa minggu kemudian.

Selain daripada hukuman penjara tambahan, lelaki-lelaki itu masing-masing didenda sebanyak 5,000 shekel (RM6,531).

"Anak guam saya memberitahu mahkamah dia tidak menyesal kerana melarikan diri," kata peguam bela, Raslan Mahajana kepada pemberita.

Antara yang melarikan diri itu ialah Mahmud Ardah yang merupakan seorang anggota kumpulan militan Jihad Islam dan dianggap sebagai dalang operasi itu.

Selepas ditangkap semula, Ardah berkata dia telah menggunakan sudu, pinggan dan juga pemegang cerek untuk menggali terowong itu.

Dia melarikan diri bersama Zakaria al-Zubeidi iaitu ketua cabang bersenjata parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. - Agensi