Muslihat Harimau Malaya

Barisan pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini. Foto: FB FAM
Barisan pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini. Foto: FB FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya dijangka tampil dengan taktikal berbeza pada saingan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan depan.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, beliau dan barisan kejurulatihannya kini sedang merencanakan beberapa taktikal baharu bagi menambahkan lagi menambah variasi dalam permainan pasukan kebangsaan.Menurutnya, perkara itu sangat penting bagi mengelakkan pasukan dapat membaca taktikal permainan mereka yang dilihat mampu memberi kelebihan buat Harimau Malaya.

“Saya tak mahu kita bergantung kepada satu formasi sahaja. Mungkin pada aksi Kelayakan Piala Asia ini, kita akan mempertaruhkan beberapa taktikal baharu berbanding sebelum ini.

“Ini kerana apabila kita kekal dengan satu taktikal atau formasi ia akan memudahkan lawan untuk menganalisa kemampuan kita. Jadi bagi saya kita perlu ada taktikal dan cara bermain yang berbeza.

“Dengan adanya formasi baharu, saya dan barisan kejurulatihan ada pilihan yang taktikal yang banyak untuk digunakan bergantung kepada kekuatan pasukan lawan dan corak permainan mereka.

“Justeru, saya berharap kesemua pemain perlu cepat menyesuaikan diri dengan formasi yang baharu nanti," katanya ketika ditemui pada sesi kem latihan pusat Harimau Malaya baru-baru ini.

Malaysia akan membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan pada 8 Jun sebelum menentang Bahrain (11 Jun) diikuti Bangladesh (14 Jun) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bagi menempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023, anak-anak buah Pan-gon wajib muncul juara peringkat kumpulan.

Sementara itu, penyerang PJ City FC, Darren Lok berazam menempatkan namanya dalam senarai akhir pemain yang akan menggalas cabaran pada pusingan kelayakan tersebut.

“Saya harap panggilan kali ketiga dalam pasukan kebangsaan bakal memberi tuah. Saya sudah tidak sabar untuk melakukannya kerana ia kali pertama bersama jurulatih baharu (Pan-gon).

“(Di bawah bimbingan Pan-gon) saya sangat kagum kerana anda dapat melihat corak permainan yang jelas, beberapa perubahan berbanding sebelum ini.

“Malah, saya yakin rejim latihan yang sangat menitikberatkan soal disiplin digunakan jurulatih ketika ini mampu untuk memberi perubahan dalam skuad kebangsaan ketika ini,” ujarnya.