Wajibkan bakal haji remaja ambil dos penggalak langkah tepat

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

LANGKAH Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan semua bakal jemaah haji remaja berumur 12 hingga 18 tahun untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke Tanah Suci adalah tepat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, syarat yang ditetapkan KKM bagi jemaah haji remaja mengambil dos penggalak Covid-19 ialah sekurang-kurangnya lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.

Nyata tindakan ini perlu bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 memandangkan risiko Jemaah haji untuk dijangkiti virus itu amat tinggi dengan mengambil kira perhimpunan yang ramai serta melibatkan jemaah haji seluruh dunia.

Khairy berkata, memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan vaksin lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 itu boleh diberikan dalam masa dua minggu sebelum dan selepas vaksin lain diberikan.

Ini bermakna remaja yang telah lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan Covid-19 mereka layak menerima dos penggalak sebaik sahaja pulih sepenuhnya.

Sebelum ini KKM menyarankan semua bakal jemaah haji yang berusia 60 tahun dan ke atas serta jemaah berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk untuk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Difahamkan jemaah haji boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir secara terus tanpa janji temu di pusat pemberian vaksin (PPV) yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti bukti surat tawaran menunaikan haji.

Perlu diingat ia bukan untuk menyusahkan kita kerana kerajaan Arab Saudi telah pun menetapkan bahawa semua jemaah haji perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum berlepas selain turut mengesyorkan pengambilan dos penggalak bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terutamanya di tempat sesak dan juga dalam pengangkutan awam di negara tersebut.