Ulama syor kaji fatwa larangan umat Islam ke Masjid Al-Aqsa

Idris Ahmad (empat dari kanan) menyerahkan logo persidangan kepada Mohd Khairuddin (dua dari kiri) simbolik penutupan Sidang Kemuncak Ulama 2022 Perpaduan Asas Pembebasan Al-Aqsa hari ini. Foto Bernama
Idris Ahmad (empat dari kanan) menyerahkan logo persidangan kepada Mohd Khairuddin (dua dari kiri) simbolik penutupan Sidang Kemuncak Ulama 2022 Perpaduan Asas Pembebasan Al-Aqsa hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022 mengesyorkan agar kajian dibuat terhadap fatwa yang melarang umat Islam melawat Masjid Al-Aqsa kerana kawasan itu termasuk dalam jajahan Israel, kata Pengerusi Jawatankuasa Program, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, cadangan itu merupakan antara 24 resolusi yang dicapai menerusi persidangan tiga hari bermula Jumaat lepas, dihadiri lebih 150 ulama Islam dari lebih 50 negara antaranya Indonesia dan Algeria.

"Orang Islam Al-Aqsa sangat memerlukan sokongan moral daripada orang Islam sedunia. Kita mengajak untuk menyemak kembali fatwa yang tidak menggalakkan umat Islam datang ke bumi Al-Aqsa atas alasan ia satu pengiktirafan diplomatik terhadap penjajahan Zionis.

”Dengan perkembangan semasa ketika umat Islam di Al-Aqsa memerlukan sokongan dunia, kita mengajak untuk dikaji semula fatwa itu berdasarkan kepada perubahan dan keadaan semasa,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam sempena sidang kemuncak itu di sini hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, sidang kemuncak itu turut bersetuju menerbitkan sebuah ensiklopedia khas berkaitan Palestin yang antara lain berfungsi memaparkan maklumat ilmiah berkaitan sejarah dan perjuangan Palestin.

Beliau berkata, penerbitan ensiklopedia oleh para ulama juga amat perlu berikutan terdapat usaha untuk menyalurkan maklumat salah mengenai Palestin di peringkat dunia.

Resolusi lain termasuk menggalakkan penggunaan media sosial oleh masyarakat seluruh dunia untuk mendedahkan kezaliman Zionis Yahudi di bumi Palestin.

"Kita ajak rakyat guna media sosial semaksimum yang boleh untuk kita dedah kepincangan yang berlaku di Palestin atas dasar kemanusiaan,” katanya.

Mohd Khairuddin juga berkata, satu jawatankuasa yang dinaungi Kesatuan Ulama Islam Sedunia akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu Palestin.

Beliau berkata, jawatankuasa itu, yang berpangkalan di Kuala Lumpur, antara lain berfungsi secara khusus mengumpulkan semua kesatuan umat Islam sedunia di bawah satu bumbung dan pada masa sama, memastikan 24 resolusi yang diputuskan dalam persidangan tersebut dapat dicapai.

Persidangan itu dianjurkan oleh Yayasan MyAQSA dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. - Bernama