X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Shahrul Nizam 'gentar' dipanggil perkuat Harimau Malaya

Shahrul Nizam menganggap rezekinya apabila dipanggil mengikuti kem latihan pusat Harimau Malaya kali ini. Foto TFC
A
A

PEMAIN pertahanan Terengganu FC (TFC), Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan takut ketika dipanggil menyertai kem latihan pusat menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E, serta dua perlawanan Antarabangsa Tier 1.

Shahrul Nizam berkata, dia berasa kerdil dikelilingi barisan pemain pertahanan lain, antaranya beberapa bintang utama Johor Darul Ta’zim (JDT), serta pemain berdarah kacukan, Dion Cools yang beraksi bersama kelab Denmark, Midtjylland FC, sekali gus mampu menggugat kedudukannya untuk meloloskan diri ke skuad akhir yang akan diumumkan ketua jurulatih, Kim Pa-gon kelak.

"Ini rezeki saya dipanggil buat kali kedua, kali pertama ada masalah komunikasi. Saya teruja dan akan buat yang terbaik dalam kem latihan pusat ini.

"Ia pengalaman baharu buat saya untuk menyesuaikan diri dengan pemain senior. Saya rasa sedikit takut, tetapi saya yakin akan berasa selesa dan dapat sesuaikan diri dalam masa dua hingga tiga hari lagi,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pada Ahad.

Shahrul Nizam sebelum ini terpalit dengan kontroversi selepas tidak melaporkan diri bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi dua aksi persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Jordan kerana turun ke laut pada Oktober lepas.

Dalam pada itu, pemain berusia 24 tahun itu berkata, sesi latihan dikendalikan Pan-gon sangat berbeza, apabila jurulatih dari Korea Selatan itu menerapkan corak permainan pantas, berbanding apa yang dipelajarinya sewaktu bersama TFC.

Sementara itu, tonggak tengah JDT, Mohamed Syamer Kutty Abba berharap, rakan sepasukan dapat meningkatkan disiplin serta tidak memberikan ruang kepada pasukan lawan melakukan serangan balas, dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 dan aksi persahabatan dihadapi Harimau Malaya nanti.

"Kita juga mesti bertahan dengan lebih baik dan padu bagi kelayakan kali ini, kerana kita akan berdepan dengan beberapa pasukan yang lebih baik. Ia tidak mudah, tetapi insya-Allah kami akan buat yang terbaik,” katanya.

Syameer Kutty juga mengakui tidak akan memandang mudah cabaran diharungi Harimau Malaya pada aksi pemanas badan menentang Brunei pada 27 Mei ini, diikuti dengan Hong Kong, kerana ia penting bagi menilai tahap kesediaan skuad kebangsaan sebelum menyertai pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!