WCare: Seramai 10,759 wanita terima manfaat setakat Mac

Rina - Foto Bernama
Rina - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10,759 wanita atau 43.03 peratus telah mendapat manfaat daripada program kesihatan Kanser Reproduktif Wanita (WCare) yang merangkumi program subsidi ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara dan saringan kanser serviks (HPV DNA) sehingga Mac lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah berkenaan 4,837 (19.35 peratus) wanita telah mendapat manfaat dengan 192 daripadanya dikesan positif HPV DNA di peringkat awal.

Beliau berkata, bagi program subsidi ujian mamogram pula seramai 5,922 wanita atau 23.68 peratus menerima manfaat di bawah program berkenaan dan daripada jumlah itu, lima daripada mereka dikesan positif kanser payudara.

"Ayuh ibu-ibu sekalian, jalani saringan awal dengan segera untuk kebaikan dan kesihatan anda,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Hari Ibu 2022, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Rina berkata, kementerian juga pada tahun ini menyasarkan seramai 50,000 wanita akan mendapat manfaat daripada kedua-dua program berkenaan.

Bersempena sambutan Hari Ibu yang disambut pada 8 Mei setiap tahun, Rina berkata, kementerian menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan saringan kesihatan percuma kepada 100 ibu di setiap negeri bermula 8 hingga 31 Mei.

Beliau berkata, perkhidmatan berkenaan boleh didapati di 49 Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara.

"Suka saya menggesa dan menggalakkan para ibu dan wanita yang layak untuk segera mendapatkan kemudahan ini demi kesejahteraan diri dan keluarga tercinta,” katanya. - Bernama