Prasarana tubuh jawatankuasa kenal pasti punca kerosakan tren LRT

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menubuhkan satu jawatankuasa, bagi mengenal pasti punca utama kebocoran bendalir hidraulik dan kerosakan angkup brek tren perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, yang tergendala Jumaat lepas.

Jawatankuasa itu terdiri daripada syarikat pembekal alat ganti tren kendalian Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), ‘original equipment manufacturer’ (OEM) dan perunding luar.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jawatankuasa itu, akan memulakan kerja Selasa ini bagi mengenal pasti masalah utama dalam tempoh dua minggu sebelum tindakan susulan diambil.

"Kerana dua insiden yang berlaku kurang dua minggu, kita perlu lihat perkara ini secara menyeluruh kenapa bendalir hidraulik ada kebocoran dan keduanya berkaitan ‘caliper’ (angkup) yang dikatakan rosak kerana mengikut jadual penyelenggaran, ia berlaku lebih awal daripada jangka hayatnya.

"Oleh itu, kita perlu kaji kenapa berlaku kerosakan lebih awal, jangka hayatnya boleh mencapai enam hingga tujuh tahun, namun lima tahun penggunaannya telah berlaku kerosakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lif dan eskalator perkhidmatan LRT di stesen LRT Ampang Park pada Ahad.

Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata kerja-kerja membaik pulih dan penyelenggaraan kerosakan lif dan eskalator di stesen-stesen pengangkutan awam kendalian Rapid Rail, akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang September ini.

Ka Siong bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada pembukaan semula kilang OEM yang membekalkan alat ganti dari Shanghai, China, yang ketika ini ditutup sementara kerana perintah berkurung di negara itu.

"Hampir dua bulan Shanghai ‘lockdown’, jadi ada sedikit kesulitan untuk dapatkan alat ganti memandangkan mereka menghentikan operasi, Prasarana juga sedang mencari kaedah lain sama ada terdapat stok alat ganti di tempat lain atau terpaksa tunggu OEM untuk hantar.

"Kita juga memutuskan alat ganti ini tidak akan dihantar melalui kapal (laut) sebaliknya akan menggunakan kargo udara.

"Kita jangka kalau ‘air freight’ gunakan pesawat bawa barangan alat ganti kita akan jimat satu bulan, kalau gunakan kapal perlu ke pelabuhan, datang ke sini dan perlu pelepasan dan sebagainya ini lambat... kita akan percepatkan, kita ada formula tetapi bergantung bila Shanghai dibuka,” katanya. - Bernama