X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Tubuh jawatankuasa siasat insiden LRT laluan Kelana Jaya terkandas

Wee Ka (kiri) melihat kerja-kerja penyelenggaraan ketika lawatan dan pemeriksaan mengenai kerosakan penggunaan eskalator di LRT Ampang Park pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan mengesahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan terhadap kejadian berulang LRT laluan Kelana Jaya yang tergendala pada Jumaat lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada agensi siasatan luar termasuk syarikat pengeluar tren itu bagi mengenal pasti masalah utama tren tersebut.

Menurut beliau, jawatankuasa ini turut mengundang perunding luar untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dan dijangka memulakan kerja pada Selasa depan.

"Dalam tempoh dua minggu kita nak tahu apa masalahnya, ini mungkin indikasi kerana Pusat Kawalan Operasi (OCC) terima isyarat termasuk kita akan teruskan berhenti.

"Tren itu tidak akan diteruskan perjalanan kerana ini ada sesuatu yang kita kena ambil maklum," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park, pada Ahad.

Ka Siong berkata, Prasarana telah mempelawa satu pasukan perunding luar bersama-sama dengan syarikat pengeluar peralatan asli (OEM) di China untuk melihat punca perkara ini berlaku.

"Dari situ kita akan pastikan tindakan susulan diambil, ada juga kesulitan untuk mendapatkan alat ganti.

"Apa yang penting isu utama harus dikenal pasti dan apa yang menyebabkan berlakunya kebocoran brek hidraulik. Jadi kita kena beri tumpuan secara khusus untuk menyelesaikan masalah ini," jelasnya.

Jumaat lalu kira-kira 22,100 penumpang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya terjejas selama dua jam disebabkan tren terkandas berikutan kebocoran angkup (caliper) brek hidraulik.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!