[VIDEO] Ketangkasan Muhammad Syahir dipuji

Muhammad Syahir menerima Sijil Penghargaan Khas oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib kerana keberaniannya.
Muhammad Syahir menerima Sijil Penghargaan Khas oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib kerana keberaniannya.
A
A
A

KEPALA BATAS - Kecekapan dan keberanian seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian pada Sabtu mendapat penghargaan dan pengiktirafan kerajaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Muhammad Syahir Jamaludin, 31, wajar dipuji kerana ketangkasannya.

Menurutnya, dalam setiap detik dan keadaan anggota JBPM merupakan kumpulan yang pertama akan sampai untuk memberikan bantuan.

"Saya pasti, setiap anggota JBPM dengan rela meminggirkan dan melupakan kepentingan diri sendiri bagi mendahulukan nyawa orang lain yang mesti diselamatkan.

"Ini semua bukanlah 'stage performance', dibuat-buat atau dilakonkan. Ia adalah kejadian sebenar, saat-saat cemas yang boleh terjadi pada bila-bila masa, terhadap sesiapa sahaja. Kebakaran, lemas, hilang serta apa jua situasi yang boleh mengancam nyawa," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan dan Dasar Kebombaan dan Penyelamat Negara (DKPN 2021-2030) di sini pada Ahad.

Ia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Pada Sabtu, satu video memaparkan kejadian terbabit tular di media sosial yang menunjukkan anggota bomba berkenaan meluru ke arah seorang wanita yang sedang berdiri di tebing Jambatan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, penghargaan sama turut dirakam Reezal Merican kepada anggota JBPM yang ketika ini sedang bergelut mengurus mangsa-mangsa banjir di Lawas, Sarawak serta di Lahad Datu, Sabah.

Tidak ketinggalan, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Wira Merah yang telah bergadai nyawa demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, mengulas mengenai DPKN 2021-2030, Reezal Merican berkata, bersesuaian dengan tema tahun ini, Bomba Frontliner Keluarga Malaysia, ia merupakan simbolik terhadap komitmen lebih daripada 13,000 pegawai bomba tetap di 327 balai bomba serta lebih 2,000 pegawai bomba bantuan dan lebih 13,000 pegawai bomba sukarela di seluruh negara.

"Ini menjadikan kekuatan Wira Merah kita berjumlah hampir 29,000 orang keseluruhannya.

"Oleh itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meletakkan soal kesiapsiagaan kebombaan dan penyelamatan sebagai salah satu daripada enam fokus utama pada tahun ini yang mendokong matlamat dan Aspirasi Keluarga Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata, DKPN 2021-2030 menjadi naskhah penting dalam soal kebombaan serta penyelamatan dan telah digubal pendekatan seluruh negara dan masyarakat dengan modus operandi terancang melalui 47 strategi berlandaskan empat teras utama.

"Ia meliputi persekitaran yang selamat, amalan dan pembudayaan, kerjasama strategik yang inklusif dan pemantapan kapasiti dan keupayaan.

"Melalui DKPN ini, komuniti di setiap peringkat akan dididik dengan ilmu keselamatan dan kebombaan, malah KPKT turut melihat pengukuhan keterlibatan bomba di peringkat komuniti dan masyarakat, demikian juga peranan setiap individu sebagai sukarelawan menjadi teras yang penting kepada kejayaan DKPN ini," katanya.