Kok Leong sumbang perak snuker lelaki individu

Kok Leong meraih pingat perak dalam acara snuker perseorangan lelaki peringkat akhir setelah tewas kepada James Wattana dari Thailand pada Sukan SEA ke-31 di Gymnasium Ha Dong pada Ahad. - Foto Bernama
Kok Leong meraih pingat perak dalam acara snuker perseorangan lelaki peringkat akhir setelah tewas kepada James Wattana dari Thailand pada Sukan SEA ke-31 di Gymnasium Ha Dong pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

HASRAT atlet snuker negara, Lim Kok Leong untuk merangkul emas peribadi kedua di temasya Sukan SEA Hanoi 2021 tidak kesampaian selepas akur tumpas kepada atlet veteran Thailand James Wattana.

Meskipun Kok Leong bermula baik pada frame pertama, pengalaman yang dimiliki Wattana sebagai bekas pemain nombor tiga dunia nyata memberi kelebihan buat dirinya apabila bangkit untuk menewaskan Kok Leong dengan skor 4-2 (24-75, 88-34, 25-70, 65-48, 83-33, 67-42) dalam acara snuker individu lelaki.

“Saya rasa saya bermula dengan baik hari ini (semalam) tetapi mungkin sedikit gementar. Saya melakukan banyak kesilapan terutamanya pada 'frame' ketiga dan keempat di mana saya berpeluang untuk terus melebarkan jurang.

“James adalah seorang legenda dalam sukan ini dan dia kekal tenang sepanjang perlawanan. Dia dapat beraksi dengan baik walaupun dalam tekanan.

“Meskipun saya tewas tetapi saya gembira dengan persembahan keseluruhan saya kerana saya sudah memenangi satu emas,”katanya.

Sebelum ini pada Selasa, Kok Leong menghadiahkan pingat emas ke-23 buat kontinjen Malaysia di Sukan SEA Hanoi selepas memenangi snuker dan billiard 6 red perseorangan lelaki.

Pada aksi final acara itu, Kok Leong menewaskan atlet Filipina, Jefrey Roda 5-3 (38-0, 0-55, 53-0, 0-66, 30-0, 33-40, 43-0, 41-18).