TH anjur Kursus Perdana Haji bermula 15 Mei

Bakal jemaah haji pada tahun ini akan mengikuti Kursus Perdana Haji secara berperingkat di seluruh negara bermula 15 Mei hingga 29 Mei ini. - Gambar hiasan
Bakal jemaah haji pada tahun ini akan mengikuti Kursus Perdana Haji secara berperingkat di seluruh negara bermula 15 Mei hingga 29 Mei ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kursus Perdana Haji Musim 1442H/2022M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 15 Mei hingga 29 Mei ini.

TH dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, Kursus Perdana Haji itu merupakan kursus terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan oleh TH di seluruh Malaysia.

Seramai 14,306 bakal haji Malaysia menunaikan haji pada tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, objektif utama penganjuran Kursus Perdana Haji adalah bagi melahirkan jemaah haji berpengetahuan dan berkeyakinan ketika melaksanakan ibadat haji kelak.

"Bakal-bakal haji akan melalui praktikal seperti bertawaf, sa’ie, melontar jamrah dan ibadat haji lain secara berkumpulan bagi memberi gambaran sebenar di Tanah Suci. Melalui kursus ini, kami tunjukkan mereka suasana sebenar sepanjang ibadah itu dilakukan kelak,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar semua bakal haji yang terpilih tahun ini hadir ke Kursus Perdana yang akan diadakan di negeri masing-masing.

"Ambil peluang ini untuk mengulang kaji dan jika ada sebarang persoalan, bertanya terus kepada pegawai TH dan pembimbing ibadat haji yang sentiasa bersama bakal haji semasa kursus berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menasihati bakal jemaah haji untuk berganding bahu, menghormati antara satu sama lain dan mengelakkan sebarang kekecohan bagi memastikan ibadat haji yang bakal dilaksanakan berjalan dengan lancar.

"Yang paling penting, para bakal haji perlu menjaga kesihatan bermula sekarang. Lakukan senaman ringan dan minum air secukupnya agar kekal sihat sebelum berlepas ke Tanah Suci.

"Dalam situasi wabak yang masih belum pulih, kebersihan diri perlu diutamakan dan jika tidak sihat, segeralah ke klinik TH untuk mendapatkan rawatan bagi mengelak ia berlarutan,” katanya.

Seramai 2,700 jemaah dari Selangor menyertai Kursus Perdana Haji 2022 yang dianjurkan oleh TH dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Bernama