Nak pinjam RM2.5 juta tapi rugi RM472,941

Gambar kecil: Huat Tian
Gambar kecil: Huat Tian
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara guru kerugian RM472,941 selepas berminat membuat pinjaman sebanyak RM2.5 juta dari sebuah syarikat pinjaman wang tidak wujud.

Mangsa merupakan seorang wanita berusia 65 tahun membuat pinjaman itu bagi membantu rakannya seorang warga Amerika Syarikat yang dikatakan mengalami kerugian berjuta ringgit dalam perniagaan serta bayaran upah pekerja termasuk cukai kerajaan untuk mencairkan sitaan wang ayahnya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, kejadian bermula pada Februari lalu, apabila mangsa mengisi borang permohonan pinjaman secara dalam talian di laman sesawang sebuah syarikat pinjaman wang berlesen.

Menurutnya, mangsa telah dihubungi dua individu yang mendakwa ejen pengurusan syarikat terbabit dan memaklumkan pinjaman telah diluluskan selepas dua hari permohonan itu dihantar oleh mangsa.

"Suspek meminta mangsa membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM50,000 bagi mengaktifkan sistem pembayaran pinjamannya.

"Selepas itu, mangsa membuat 41 transaksi pemindahan wang berjumlah RM454,168 seperti diminta suspek ke dalam akaun berbeza yang dipercayai milik kakitangan syarikat terbabit.

"Pembayaran itu dibuat bagi melancarkan sistem pinjaman merit markah dan mengelak dikenakan cukai boleh kerajaan. Mangsa dikatakan sanggup berbuat demikian demi memastikan pinjaman sebanyak RM2.5 juta itu diperoleh segera dan sekali gus dapat membantu rakannya," kata dalam satu kenyataan pada Ahad.

Berdasarkan laporan itu, beliau berkata, mangsa masih gagal untuk mendapatkan pinjaman tersebut dan suspek meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM450,000 untuk tujuan cubaan akaun.

Huat Tian berkata, selepas gagal mendapat pinjaman pertama mangsa telah buat pinjaman kedua sebanyak RM150,000 juga melalui laman web Google.

Katanya, proses pinjaman adalah sama dengan pinjaman kali pertama iaitu secara dalam talian dan mangsa perlu membuat bayaran kepada pihak syarikat kedua sebanyak RM18,773.40 melalui lapan transaksi menggunakan akaun berbeza.

"Selepas berasa curiga dengan pihak syarikat pertama dan kedua, mangsa seolah tidak berputus asa untuk mendapatkan pinjaman lantas mencari syarikat ketiga namun mangsa tidak bercadang memasukkan wang kerana percaya segala prosedur pembayaran seperti dua syarikat sebelum ini.

"Syarikat ketiga mengugut mangsa sekiranya enggan meneruskan pinjaman akan dikenakan bayaran ke atas lelongan pinjaman terbabit," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, mangsa telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada Sabtu, selepas menyedari dirinya dipercayai sindiket pinjaman tidak wujud.

"Modus operandi digunakan suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan pinjaman wang tidak wujud di laman sesawang Google sehingga mengalami kerugian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun," katanya.

Sehubungan itu, Huat Tian menasihat orang awam supaya tidak mempercayai mana-mana syarikat peminjam wang dalam talian kerana segala urusan pinjaman wang dengan syarikat peminjam berlesen hanya boleh diuruskan di pejabat syarikat peminjam berlesen sahaja.