Pekerja kilang maut digilis lori

Keadaan mayat mangsa yang tersepit di bawah tayar lori setelah maut digilis kenderaan berkenaan awal pagi tadi.
Keadaan mayat mangsa yang tersepit di bawah tayar lori setelah maut digilis kenderaan berkenaan awal pagi tadi.
A
A
A

KAMUNTING - Seorang pekerja kilang maut digilis sebuah lori setelah motosikal ditunggang dipercayai terbabas dalam kejadian kemalangan di Jalan Perusahaan 3, Kawasan Industri Kamunting, di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Mohamad Rusdi Mohamed Yusuf, 25, dari Kampung Pak Darus di sini meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala dan atas badan.

Seorang saksi hanya dikenali Rahman, 30, berkata, dalam kejadian jam 6.57 pagi, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang lateks di sini dari rumahnya.

Menurutnya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba mengelakkan sebuah motosikal lain yang memasuki persimpangan kiri secara mengejut menyebabkan motosikal ditunggang mangsa terbabas.

"Mangsa tidak dapat mengawal motosikal dinaikinya yang terbabas kemudian terhumban ke tengah jalan.

"Pada masa sama, terdapat sebuah lori muatan panjang sedang berada di tengah jalan dan tayar belakang kenderaan itu kemudiannya bertindak menggilis mangsa yang sedang terjatuh ketika itu," katanya kepada media di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting, Roszaini Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan awam mengenai kejadian itu pada jam 7 pagi.

Menurutnya, setibanya jentera ke lokasi kejadian, pihaknya mendapati terdapat seorang penunggang motosikal tersepit di bawah sebuah lori dan maut di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit di bawah tayar belakang lori sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Superintendan Osman Mamat sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan sedang dijalankan.