‘Selagi parti nyamuk Melayu tak bubar, orang Melayu akan berpecah’

Tun Abdul Hamid
Tun Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengukuhan penggunaan Bahasa Melayu tidak boleh berlaku sekiranya sebuah kerajaan yang disepakati parti-parti Melayu yang kukuh tidak dapat ditubuhkan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memikirkan bagaimana mahu memperkuatkan kedudukan politik Melayu terlebih dahulu.

“Selagi dua parti politik terbesar Melayu, iaitu UMNO dan Pas tidak bergabung serta selagi parti-parti nyamuk Melayu tidak dibubar atau dikuburkan, orang Melayu akan terus berpecah-belah, kuasa politik Melayu terus lemah dan kerajaan terpaksa mengharapkan sokongan parti-parti bukan Melayu termasuk yang hanya mempunyai satu kerusi Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian secara maya dalam Majlis Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bertajuk ‘Bahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-Undang’ di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut melahirkan kekhuatirannya berhubung dengan simposium yang diadakan tiga hari ini.

“Saya khuatir simposium ini juga akan menjadi seperti Jumaat Hari Jawi yang mati tak berkubur seminggu selepas ia dilancarkan.

“Tetapi, simposium ini ada kelainannya. Ia dianjur oleh Pejabat Perdana Menteri.

“Kita ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas keberaniannya menganjurkan simposium ini dan membukanya dalam keadaan kerajaannya yang tidak kukuh itu,” jelasnya.

Beliau juga mengharapkan penganjuran simposium ini bukan sekadar bagi mendapat undi orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.