Nahas lima rentung: Keputusan JISA diketahui minggu depan

Zailani (dua dari kiri) menyerahkan kelulusan bas mini yang diubah suai menjadi surau bergerak pada Ahad.
Zailani (dua dari kiri) menyerahkan kelulusan bas mini yang diubah suai menjadi surau bergerak pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keputusan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap treler yang terlibat dalam kemalangan hingga meragut nyawa lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada 12 Mei lalu dijangka diketahui minggu depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya sedang melakukan pengumpulan maklumat berkaitan Keselamatan Jalan Raya (KJR) bagi memastikan sama ada kenderaan membawa muatan besi tersebut mematuhi segala peraturan ditetapkan.

"Kita sedang periksa sama ada treler ini melakukan ujian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) atau tidak dan selepas siasatan selesai, baharulah kita boleh buat keputusan," katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JPJ Terengganu di sini pada Ahad.

Menurut Zailani, komponen-komponen treler itu seperti brek, klac dan persijilan E-Marking merupakan antara elemen yang diberi penekanan dalam pemeriksaan tersebut bagi memastikan kenderaan berat berkenaan benar-benar mematuhi spesifikasi ditetapkan dalam kejuruteraan automobil JPJ.

Mengulas mengenai tindakan JPJ berikutan kekerapan kemalangan melibatkan kenderaan berat sejak akhir-akhir ini, beliau menegaskan bahawa JPJ sentiasa menggunakan pendekatan advokasi dan penguatkuasaan di lapangan.

"Kita tidak leka dengan sebarang bentuk ketidakpatuhan dan orang ramai boleh salurkan maklumat menerusi sistem e-Aduan bagi membolehkan kita mengesan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pesalah lalu lintas," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam 12 Mei lalu, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

Mangsa dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

Pemandu treler berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada 17 Mei lalu atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian lima pelajar berusia antara 19 hingga 23 tahun itu.