Litar lumba rakyat diteruskan, tertangguh kerana ‘nafsu besar’

Muhammad Sanusi (depan) menunggang skuter milik beliau ketika hadir program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas pada Ahad. Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Muhammad Sanusi (depan) menunggang skuter milik beliau ketika hadir program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas pada Ahad. Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan meneruskan pembinaan litar lumba rakyat di Sungai Petani dengan kos RM30 juta berbanding cadangan kerajaan negeri terdahulu yang mahu membina litar lumba bertaraf antarabangsa mencecah RM73 juta.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan RM30 juta mengikut perancangan awal projek yang dirancang sejak 2008, namun ia terbengkalai disebabkan kerajaan terdahulu mengubah pelan asal kepada model Sepang International Circuit (SIC).

Menurutnya, ia berpunca daripada ‘nafsu besar’ pemimpin terdahulu yang mahu membina litar lumba bertaraf antarabangsa sedangkan perancangan awal adalah litar untuk rakyat.

“Selepas saya ambil alih pentadbiran pada 2020, saya kembali kepada pelan asal untuk bina litar rakyat. Buat apa nak bina litar antarabangsa, siapa nak datang, macam mana 'mat rempit' nak guna kalau statusnya antarabangsa.

“Fasa pertama pembinaan litar membabitkan kos RM10 juta sebelum ia terhenti setelah berlaku pertukaran kerajaan negeri. Daripada kos asal, RM30 juta bertambah kepada RM73 juta kerana ‘nafsu besar’ mereka nak bina litar antarabangsa,” katanya pada program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas di sini pada Ahad.

Muhammad Sanusi memberitahu, peruntukan pembinaan litar berkenaan kini berbaki RM20 juta daripada keseluruhan RM30 juta yang diperuntukkan.

“Bukan kita tidak berminat bina litar ini tetapi sebab duit tak ada. Kerajaan Kedah terdahulu sudah dapat RM30 juta dan kemudian mereka berhasrat minta lagi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) RM43 juta. Itu yang lambat.

“Untuk percepatkan semula projek ini, kita akan jual sebahagian tanah litar itu yang keluasannya 40 hektar. Sudah ada syarikat berminat dengan tawaran kita dan sekarang kita akan gunakan duit itu untuk membiayai kos pembinaan litar ini,” katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan mengingkari janji untuk meneruskan pembinaan litar lumba berkenaan yang sudah lama tertangguh untuk kegunaan anak muda Kedah.

“Sekarang ini peringkat jual tanah milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) terbabit. Kita akan bangunkan litar ini sebelah, sebelah lagi akan dibina pusat komersial, kedai dan bilik pameran,” katanya.

Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak dapat mendedahkan nama syarikat terlibat buat masa ini, yang mana operasi litar akan diuruskan syarikat berkenaan.

“MBI bangunkan litar, mereka uruskan operasi litar. Saya memang mahu siapkan secepat mungkin, sebaik selesai urusan jualan tanah dan pembayaran termasuk perbincangan dengan pihak-pihak lain lagi, saya yakin ia dapat dilaksana segera,” katanya.