Lapan lelaki ditahan disyaki pecah masuk kedai telefon bimbit

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan lapan lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah premis menjual telefon bimbit di Taman Kemuning dekat Kulim, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kesemua yang berusia 18 hingga 28 tahun ditahan di Kulim dan Simpang Empat, Pulau Pinang dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

"Polis menerima panggilan daripada orang awam pada 5.40 pagi pada hari kejadian yang memaklumkan ternampak tiga lelaki sedang mengheret sebuah peti besi di kawasan perumahan itu.

"Pemilik premis telah membuat laporan polis pada 9 pagi hari sama selepas mendapati pintu belakang kedainya telah dipecahkan dan premis itu dalam keadaan berselerak,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Mohd Redzuan berkata, pemilik premis turut memaklumkan 30 telefon bimbit dan sebuah peti besi telah hilang.

Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan operasi mengesan suspek dan berjaya menahan tiga daripadanya di sekitar Kulim manakala lima lagi di Simpang Empat.

Menurutnya, polis menemukan sebuah peti besi, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, tiga jam tangan, 23 kad prabayar, pelbagai aksesori telefon bimbit serta dua album mengandungi koleksi mata wang asing.

"Turut dirampas, satu kuku kambing dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis itu, dua motosikal serta sebuah kereta yang disewa,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama