X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Buli: Empat pelajar senior dijangka dituduh Isnin

Laporan Sinar Harian berkenaan pelajar Tingkatan Satu dibuli pelajar senior 13 Mei lalu.
A
A

SEREMBAN - Empat pelajar sebuah sekolah menengah di Sikamat, di sini yang didakwa mencederakan seorang pelajar Tingkatan Satu pada 13 Mei lalu dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Seremban pada Isnin

Difahamkan, tiga daripada mereka merupakan pelajar Tingkatan Empat dan seorang lagi Tingkatan Tiga yang tinggal di asrama sekolah terbabit.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

"Berdasarkan maklumat, mereka akan dituduh dan selepas itu diberi jaminan untuk laporan akhlak sebelum tarikh baharu ditetapkan untuk dijatuhkan hukuman.

"Seorang lagi pelajar Tingkatan Lima akan memberi keterangan sebagai saksi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan seorang bapa mendakwa sebuah sekolah menengah di Sikamat di sini seolah-olah berat sebelah dalam mengambil tindakan terhadap pelajar senior yang membuli anaknya.

Dalam kejadian 13 Mei itu, Pelajar Tingkatan Satu dipukul dan disepak oleh tiga pelajar Tingkatan Empat dan seorang pelajar Tingkatan Tiga sehingga mengalami lebam pada badan.

Bapa pelajar berkenaan yang membuat laporan polis pada hari sama mendakwa anaknya sakit di bahagian badan, pinggul, tangan dan bahu selain baru disahkan mengalami retak di pergelangan tangan.

Pelajar itu juga dikatakan tidak dapat tidur malam kerana terganggu dengan kejadian yang berlaku.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!