Ravichandran berjaya takluk Everest biarpun berbeza cabaran

Pendaki Everest yang berjaya mendaki gunung tersebut kali ketiga T. Ravichandran (belakang kanan,empat) bergambar bersama pelajar pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada Ahad. - Foto Bernama
Pendaki Everest yang berjaya mendaki gunung tersebut kali ketiga T. Ravichandran (belakang kanan,empat) bergambar bersama pelajar pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Jika sebelum ini T Ravichandran berjaya menakluk puncak Everest seorang diri sebanyak dua kali pada 2006 dan 2007, lain pula untuk misi ketiga yang berjaya dilunaskannya pada 12 Mei lepas.

Ravichandran berkata, pendakian kali ini menyajikan pengalaman berbeza dan mencabar kepadanya kerana perlu membawa bersama dua pendaki lain berusia 40 dan 64 tahun ke puncak tertinggi dunia.

"Saya berjaya membawa mereka ke puncak pada usia 64 dan 40 tahun... jadi sudah semestinya saya sangat berpuas hati dan bangga dengan pencapaian kali ini.

"Untuk rekod, klien yang berusia 64 tahun adalah tertua yang berjaya menawan Gunung Everest berbanding dengan pendaki lain pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, pada Ahad.

Pendaki berumur 64 tahun itu merupakan pesara Tenaga Nasional Berhad, N Elanghovan, manakala seorang lagi pendaki ialah lelaki berbangsa India daripada Amerika Syarikat, Sidharth Routray.

Berkongsi perjalanan ekspedisi itu, Ravichandran, 57, berkata cabaran kepadanya adalah memastikan fizikal dan mental kliennya stabil selain terpaksa mengharungi keadaan cuaca yang tidak menentu.

Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu turut memaklumkan mereka memulakan pendakian pada 2 Mei lepas menuju ke khemah satu, khemah dua serta khemah tiga dan berhenti untuk berehat pada 5 Mei sebelum meneruskan kembali ekspedisi dari 9 hingga 11 Mei sebelum tiba di puncak pada 12 Mei.

Mereka turun dari puncak pada 15 Mei.

"Setiap kali ekspedisi baharu, pasti ada cabaran berbeza tetapi ia sebagai satu langkah membentuk keyakinan dalam diri saya. Bukan mudah... terpaksa menghadapi angin berkelajuan 25 kilometer per jam sehingga membuatkan jari (menjadi) sangat sejuk dan terpaksa memakai (tong) oksigen.

"Dalam masa sama, (saya perlu) memastikan klien sentiasa stabil dan tidak mudah mengalah untuk bersama-sama sampai ke puncak. Ia suatu momen yang menarik kerana dapat melihat eskpresi wajah mereka yang gembira,” katanya yang memiliki seorang anak.

Dalam pada itu, tekad untuk menawan Gunung Everest buat kali keempat tahun hadapan, alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga memaklumkan beliau akan melakukan persiapan yang rapi bagi meneruskan misi pendakian akan dilakukan tanpa menggunakan tong oksigen. - Bernama