Kelantan sekali lagi bakal jadi tumpuan musim cuti sekolah

Md Anizam (kiri) menandatangani plak perasmian Kemudi Timur di Batu 8, Batang Merbau, Tanah Merah.
Md Anizam (kiri) menandatangani plak perasmian Kemudi Timur di Batu 8, Batang Merbau, Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Kelantan sekali lagi bakal mengalami kesesakan luar biasa apabila dijangka menjadi tumpuan 300,000 hingga 400,000 pelancong domestik yang akan bercuti di negeri ini pada musim cuti persekolahan bulan depan.

Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, perkara tersebut menjadi kebiasaan bagi negeri Kelantan yang menjadi antara destinasi pilihan pelancong dalam fasa peralihan endemik.

Katanya, setakat ini, industri pelancongan di negeri tersebut mencapai pemulihan sebanyak 65 peratus selepas dua tahun mengharungi ancaman pandemik Covid-19.

“Kebiasaan pada musim cuti sekolah, Kelantan akan mengalami kesesakan dengan dianggarkan 300,000 sehingga 400,000 kenderaan pelancong akan masuk ke negeri ini.

“Selepas cuti panjang perayaan Aidilfitri baru-baru ini, bulan depan sekali lagi cuti panjang penggal pertama persekolahan yang akan menjadi lonjakan kepada pelancongan domestik di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pembukaan Kemudi Timur cawangan ke-20 di Batu 8, Batang Merbau, di sini, pada Ahad.

Md Anizam (tengah) memotong riben dan memecahkan belon sebagai simbolik perasmian Pembukaan Kemudi Timur cawangan ke-20 di Batu 8, Batang Merbau, Tanah Merah, pada Ahad.
Md Anizam (tengah) memotong riben dan memecahkan belon sebagai simbolik perasmian Pembukaan Kemudi Timur cawangan ke-20 di Batu 8, Batang Merbau, Tanah Merah, pada Ahad.

Ujarnya, kemasukan pelancong ke Kelantan tersebut adalah petanda baik untuk perkembangan ekonomi di negeri ini dan akan menambahkan lebih banyak aktiviti yang dapat menjana pendapatan rakyat.

“Rakyat bagaimanapun diingatkan supaya terus mengamalkan kebersihan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 semasa musim cuti sekolah bagi mengelak penularan penyakit.

“Sekiranya keadaan semasa seperti ini dapat dikekalkan, kerajaan negeri menjangkakan ekonomi Kelantan akan pulih sepenuhnya pada hujung tahun ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Urusan Kemudi Timur, Shabki Abdullah berkata, cawangan Kemudi Timur terbaharu di laluan utama jalan raya Timur-Barat di Tanah Merah adalah yang terbesar dalam keseluruhan 20 kedai peralatan elektrik syarikat berkenaan.

“Kemudi Timur menyasarkan sebanyak 30 cawangan dibuka di Kelantan dan masa terdekat akan dibuka di Bachok susulan kuasa beli yang tinggi oleh penduduk di negeri ini.

“Setakat 20 cawangan yang ada di seluruh Kelantan, Kemudi Timur dapat memberikan manfaat pekerjaan dan pendapatan tetap kepada lebih 120 penduduk tempatan di negeri ini,” jelasnya.