X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Peniaga di Perlis catu jualan ayam

Gambar hiasan
A
A

PADANG BESAR - Rata-rata peniaga ayam di Perlis bertindak mencatu penjualannya susulan tindakan pengeluar menghentikan operasi buat sementara, dikatakan berpunca daripada berat ayam di ladang yang tidak mencapai standard untuk dipasarkan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perlis, Dr Adam Abdullah Kwan berkata, langkah mencatu jualan ayam itu dilaksanakan oleh para peniaga sendiri bagi membolehkan lebih ramai pelanggan mendapat peluang untuk memperoleh bekalan ayam.

"Catuan dilaksanakan sendiri oleh penjual dan bukan daripada arahan penguat kuasa. Saya dimaklumkan pengeluar akan menghantar 13,000 ekor ayam ke peniaga di negeri ini hari ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Seorang peniaga ayam yang ditemui, Ismanizam Ismail, 40, berkata beliau menghadapi masalah apabila pengeluar tidak dapat membekalkan ayam mengikut jumlah yang ditempah.

"Saya tempah 200 ekor ayam tetapi hanya dapat 20 ekor sahaja. Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun-tahun sebelum ini pula, biasanya saya dapat jual 1,000 ekor ayam, tetapi tahun ini hanya dapat jual 150 ekor ayam,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini bekalan ayam paling merosot berlaku sejak sambutan Tahun Baharu Cina pada bulan Februari lepas.

Seorang lagi peniaga ayam, Wan Shahrul Wan Choh, 31 berkata semalam beliau tidak berniaga disebabkan tiada bekalan ayam yang diterima.

"Mungkin bekalan ayam ada tetapi pengeluar tahan dulu keluaran ayam,” katanya.

Beliau berkata, bekalan ayam untuk Hari Raya Aidiladha nanti tidak boleh dijangka kerana risau tiada bekalan.

Seorang pelanggan, Rogayah Ali, 38 berkata beliau terpaksa pergi mencari sehingga dua atau tiga kedai untuk membeli ayam, bagi membolehkan beliau berniaga pulut ayam.

"Saya pernah terpaksa menutup kedai sehingga tiga hari kerana tiada ayam yang dapat dibeli,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!