Jenayah Macau Scam di Selangor membimbangkan

A
A
A

SHAH ALAM - Kes melibatkan Macau Scam di Selangor mencatatkan peningkatan agak ketara melibatkan sebanyak RM19.8 juta dicatatkan sejak awal Januari sehingga April tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kadar terkini yang direkodkan melibatkan kes Macau Scam ini sekaligus menjadi perkara yang membimbangkan.

"Sehingga kini, bagi kes Macau Scam yang berlaku di negeri Selangor dari bulan Januari 2022 sehingga bulan April 2022 adalah sebanyak 156 kes dan melibatkan kerugian sebanyak RM19,848,381.36.

"Bagi saya jumlah ini merupakan perkara yang membimbangkan, bayangkan dalam tempoh empat bulan sahaja, nilai kerugian yang dicatatkan melibatkan belasan juta ringgit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis Universiti Teknologi Mara (UiTM) Zon Tengah di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM di sini pada Ahad.

Katanya, modus operandi yang digunakan Macau Scam ini adalah menimbulkan rasa panik terhadap mangsa.

"Berdasarkan kes-kes yang dicatatkan sebelum ini, mangsa akan ditakutkan oleh sindiket dengan menyamar sebagai pegawai polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Mereka menyatakan mangsa ada mempunyai tunggakan dari segi cukai, saman dan sebagainya hingga mangsa terpedaya dan menuruti apa sahaja kehendak sindiket," katanya.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (tengah) dalam sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis Universiti Teknologi Mara (UiTM) Zon Tengah di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara di sini pada Ahad.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (tengah) dalam sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis Universiti Teknologi Mara (UiTM) Zon Tengah di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara di sini pada Ahad.

Menurut Arjunaidi, mangsa Macau Scam ini terdiri daripada semua golongan di negara ini.

"Setakat ini, berdasarkan siasatan dijalankan, tiada spesifikasi khusus mangsa yang terlibat, semua golongan ada menjadi mangsa, sama ada golongan atasan, sederhana atau kurang berkemampuan.

"Begitu juga dari segi pekerjaan, ada juga mangsa yang terlibat adalah kakitangan kerajaan, pesara, malah ada kes yang melibatkan golongan korporat dan mereka yang berjawatan tinggi," katanya.

Tambahnya, antara faktor utama menjadi penyebab seseorang itu menjadi mangsa kepada Macau Scam adalah kesedaran.

"Kurangnya kesedaran berkaitan jenayah melibatkan Macau Scam ini antara faktor mangsa terperangkap, jangan sewenang-wenangnya menyerahkan data peribadi kepada mereka yang tidak dikenali.

"Paling penting saya nak ingatkan bahawa pegawai polis dan LHDN tidak bertugas dalam satu pejabat, ada kes yang mana panggilan dengan mudah dipindahkan kepada pegawai polis, ini sesuatu yang tidak berlaku sebenarnya, jadi dalam soal ini masyarakat kena lebih peka dan jangan mudah terperdaya," katanya.

Tambahnya, undang-undang sedia ada perlu turut digubal seiring dengan peredaran teknologi semasa.

"Dari segi tangkapan, banyak tangkapan yang dilakukan, namun dari segi pertuduhan ada masalah, kes melibatkan Macau Scam ini melibatkan jenayah secara dalam talian yang mana tidak bersemuka.

"Sedangkan peruntukan undang-undang sedia ada sebaliknya, jadi yang boleh saya katakan undang-undang sedia ada tidak seiring dengan peredaran arus semasa dan perkara ini bagi saya perlu diperhalusi dengan sebaiknya," katanya.