Reman suami isteri dera anak saudara dilanjutkan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Reman terhadap pasangan suami isteri dilanjutkan sehingga enam hari bermula Isnin, berhubung kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dipercayai didera.

Tahanan reman kedua-dua suspek yang merupakan ibu dan bapa saudara kepada mangsa itu dibuat bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, mahkamah membenarkan tempoh reman terhadap suspek lelaki berusia 40 tahun dilanjutkan enam hari sehingga Sabtu depan.

"Tempoh lanjutan reman terhadap suspek wanita juga berusia 40 tahun pula selama lima hari sehingga Jumaat depan," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Kedua-dua suspek sebelum ini telah direman selama tujuh hari bermula 16 Mei lalu bagi membantu siasatan kes itu.

Pasangan suami isteri yang merupakan penjaga kepada mangsa itu ditahan selepas satu laporan polis dibuat pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Berdasarkan laporan itu, pihak hospital menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dibawa ambulans dan disahkan meninggal dengan kesan-kesan cedera, disyaki akibat didera.