X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah tinggi benar jaminan dikurangkan

Tertuduh ketika dibawa ke mahkamah tinggi.
A
A
JOHOR BAHRU - Mahkamah tinggi, di sini, hari ini membenarkan jaminan dikenakan terhadap pemandu lori dan seorang pengarah syarikat atas pertuduhan membuang dan bersubahat melupuskan bahan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim, awal bulan ini, dikurangkan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid turut membenarkan jaminan ke atas seorang lagi pengarah warga Singapura yang sebelum ini tidak diberikan jaminan atas pertuduhan sama.

Keputusan tersebut dibuat selepas semakan kehakiman keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini, terhadap N Maridass, 35; Yap Yoke Liang, 42, dan Wang Jing Choa, 34, dilakukan.

Dalam keputusan selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak pendakwaan dan pembelaan, Ahmad Kamal membenarkan wang jaminan terhadap Maridass dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM30,000.

Mahkamah turut mengurangkan jaminan yang dikenakan ke atas Yoke Liang daripada RM250,000 kepada RM150,000 berserta seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke Balai Polis Pasir Gudang setiap 1 hari bulan sehingga selesai prosiding dijalankan dikekalkan.

Manakala bagi Jing Choa yang sebelum ini tidak dibenarkan dijamin, mahkamah membuat keputusan memberikan jaminan sebanyak RM250,000 berserta dua orang penjamin tempatan, selain perlu melaporkan setiap 15 hari bulan di balai polis yang sama dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Ahmad Kamal dalam alasannya ketika memberikan keputusan itu menganggap Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam memberikan keputusan jaminan ke atas kesemua tertuduh.

Dalam hujahnya, beliau turut bersetuju dengan keputusan mahkamah sesyen memberikan jaminan yang setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kes yang dilakukan adalah serius selain jaminan daripada tertuduh melarikan diri atau tidak hadir ke mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Maridass didakwa melupuskan buangan terjadual di bawah Kod SW311 iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak seperti dalam senarai Jadual Pertama Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam Sungai Kim Kim.

Manakala Yoke Liang dan Jing Choa yang juga dituduh bersama-sama bersubahat dengan Maridass melakukan perbuatan terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kesemua tertuduh menggunakan lori jenis Mitsubishi Semi Treler M/Sawit tanpa mendapat apa-apa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang antara 12 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 34B (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(4) akta sama, manakala pendakwaan terhadap Yoke Liang dan Jing Choa juga dibaca bersama Seksyen 42 akta yang sama.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!