Bapa hilang ketika tanam pokok durian

Pasukan mencari diteruskan pada Ahad selepas dikhuatiri hilang pada Khamis.
Pasukan mencari diteruskan pada Ahad selepas dikhuatiri hilang pada Khamis.
A
A
A
JELI - Seorang warga emas dikhuatiri hilang ketika menanam pokok durian di kebunnya di Pasir Dusun di sini pada Khamis lalu.

Lelaki terbabit, Yaakub Ismail, 76, disedari hilang pada jam 3.30 petang.

Kehilangan itu disedari oleh anak bongsunya, Mohd Sufian Ya’akub, 49, yang kemudian membuat laporan polis.

Mohd Sufian berkata, pada hari kejadian, bapanya terlebih dahulu keluar menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Daihatsu Feroza dari rumah mereka di Kampung Berangan Masjid, Tumpat untuk ke kebun tersebut pada jam 8.30 pagi.

Katanya, selepas dua jam, dia pula menyusul menaiki kenderaan lain dan tiba di kebun tersebut pada jam 12.30 tengah hari.

“Ada kereta bapa di letakkan di kawasan kebun dan saya pun meneruskan kerja membersihkan kebun tanpa mengesyaki apa-apa.

“Saya sangkakan dia ada di dalam kawasan kebun itu, sehinggalah waktu hendak pulang pada jam 3.30 petang, dia tidak muncul-muncul dan saya mencarinya tetapi tidak jumpa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Mohd Sufian berkata, dia telah mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung untuk mencari bapanya di kawasan kebun mereka seluas lebih dua hektar itu namun tetap gagal menemuinya.

“Saya cuba menelefon bapa tetapi gagal dihubungi sehingga hari keempat hari ini, usaha mencarinya masih diteruskan.

“Kami pergi ke kebun seminggu sekali untuk usahakan tanaman durian dan saya berharap bapa akan ditemui semula dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin ketika dihubungi berkata, menerima laporan berhubung orang hilang seterusnya melancarkan gerakan mencari di kawasan tersebut.

“Orang hilang memakai baju kemeja, seluar sukan berwarna hitam kasut dan berkasut but berwarna hitam.

“Usaha mencari diteruskan dengan menggunakan anjing dari Unit K9 Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dibantu penduduk kampung,” katanya.