40 peratus pesalah rasuah terdiri penjawat awam

Rosley (depan, enam, kiri) dan Borhan (depan, lima, kiri) meraikan kejayaan pelancaran program Rantaian Integriti, Rasuah Dihina, Maruah Dibina, Taiping Sejahtera di Taiping hari ini.
Rosley (depan, enam, kiri) dan Borhan (depan, lima, kiri) meraikan kejayaan pelancaran program Rantaian Integriti, Rasuah Dihina, Maruah Dibina, Taiping Sejahtera di Taiping hari ini.
A
A
A

TAIPING - Golongan penjawat awam dikenal pasti menyumbang sebanyak 40 peratus daripada pesalah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh tahun 2011 hingga 2015.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, statistik itu menunjukkan golongan penjawat awam berisiko tinggi terhadap rasuah, khususnya bagi mereka terlibat dalam pelaksanaan keputusan dan perolehan kerajaan.

Menurutnya, rasuah merupakan isu kritikal yang perlu ditangani secara sistematik dan menyeluruh kerana ia boleh menyebabkan berlaku peningkatan pada jumlah kos modal dan pembangunan bagi apa jua program atau projek dilaksanakan.

"Ini sudah tentu memberi kerugian kepada negara kerana rasuah bukan semata-mata kesalahan undang-undang tetapi kesalahan sosial dan peradaban yang boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

"Bagaimanapun, SPRM Perak mengenal pasti indeks peratusan pesalah rasuah dalam kalangan penjawat awam didapati semakin menurun sejak kebelakangan ini," katanya dalam ucapan pada Program Rantaian Integriti Rasuah Dihina, Maruah Dibina, Taiping Sejahtera di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM Perak, Rosley Mohamad Satar.

Turut hadir Setiausaha Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Borhan Abdul Halim.

Sementara itu, Rosley sewaktu ditemui berkata, program Rantaian Integriti bersama MPT hari ini merupakan julung kali diadakan bagi menyebarkan mesej tolak rasuah dalam kalangan penjawat awam di negeri Perak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, SPRM Perak mengalu-alukan penglibatan lebih banyak agensi kerajaan di negeri ini bagi memperluaskan program kesedaran mengenai ancaman rasuah kepada negara.

"SPRM Perak turut menasihatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang kes rasuah di mana-mana pejabat SPRM di Perak.

"Mereka tidak perlu bimbang memberi maklumat rasuah kepada kami kerana identiti mereka akan dilindungi SPRM," katanya.

Program itu turut menyaksikan seramai 800 peserta terdiri kakitangan penjawat awam di Taiping membuat rantaian manusia sebagai simbolik sokongan terhadap program kesedaran hindari rasuah dalam kalangan penjawat awam.