Kerajaan akan pinda Akta DBP: Ismail Sabri

Ismail Sabri berucap pada Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Ahad. - Foto Bernama
Ismail Sabri berucap pada Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi memberikan lebih kuasa kepada agensi terbabit dalam memastikan Bahasa Melayu digunakan secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, banyak nama-nama jalan, papan-papan tanda dan taman perumahan tidak menggunakan Bahasa Melayu sedangkan penggunaannya adalah merupakan satu syarat.

“DBP tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan dari segi penyalahgunaan Bahasa Melayu. Saya difahamkan Majlis Daerah yang meluluskannya juga tidak ada kuasa.

“Disebabkan itu kita mahu pinda Akta DBP supaya diberikan kuasa dari segi penguatkuasaan dan tindakan undang-undang jika terdapat pelanggaran penggunaan Bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Mengulas mengenai bilakah akta tersebut akan dipinda, Ismail Sabri menyatakan beliau menyerahkan kepada DBP untuk meminda dan membentangkan perkara terbabit kepada kabinet.

“Insya-ALLAH selepas kabinet, kita akan bawa ke Parlimen untuk dipinda,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa surat edaran telah dikeluarkan kepada semua jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar penggunaan Bahasa Melayu diutamakan.

“Di dalam mesyuarat Khazanah Nasional Bhd iaitu GLC yang saya pengerusikan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya,” ujarnya.

Selain itu katanya, semua surat menyurat daripada negara ini ke luar negara juga menggunakan Bahasa Melayu.

“Semua surat menyurat daripada negara kita ke luar, sama ada saya Perdana Menteri kepada rakan sejawat saya Perdana Menteri atau Presiden menggunakan Bahasa Melayu.

“Tetapi kita lampirkan terjemahan dalam Bahasa Inggeris bersama surat. Jadi, penggunaan rasminya adalah Bahasa Melayu.

“Malah, di dalam persidangan antarabangsa menggunakan bahasa Melayu dan juga sewaktu rundingan dua hala juga juga bahasa Melayu,” katanya.