X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Mesyuarat kabinet esok bincang kenaikan harga barang, bekalan makanan

Mesyuarat kabinet akan diadakan pada Isnin bagi membincangkan dua isu membabitkan kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan makanan seperti ayam. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Satu mesyuarat kabinet akan diadakan pada Isnin bagi membincangkan dua isu membabitkan kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan makanan seperti ayam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membentangkan mengenai perkara terbabit.

“Esok dua kementerian ini akan membentangkan apakah perancangan jangka pendek dan perancangan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa berlakunya masalah kekurangan bekalan ayam segar susulan kehabisan stok.

Selain itu, turut dilaporkan harga semua barangan keperluan dijangka meningkat sehingga 60 peratus pada Jun depan.

Jelas Ismail Sabri, dua isu ini berlaku disebabkan fenomena global yang berlaku seperti perang melibatkan Rusia dan Ukraine.

“Penawaran kepada bahan makanan mungkin terjejas teruk kerana (kekurangan bekalan) gandum ini. 1/3 daripada pengeluaran dunia dikeluarkan oleh Rusia dan Ukraine.

“Saya difahamkan ada beberapa negara telah menyekat eksport gandum daripada negara mereka untuk kegunaan mereka sendiri. Jadi, kalau dari segi teori ekonomi permintaan melebihi daripada penawaran, tentu sahaja harga akan meningkat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang mengkaji bagi melihat lebih banyak lesen import (AP) selain makanan untuk dihapuskan.

“Banyak lagi AP-AP lain kita akan tengok, bukan setakat makanan sahaja. Kita harap, bila AP dihapuskan, sekurang-kurangnya boleh mengurangkan tekanan dari segi kekurangan bekalan barangan.

“Yang keduanya, kalau banyak pihak yang terlibat, mungkin harga pun boleh dikurangkan,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!