Malaysia tidak isytihar perang perdagangan terhadap EU

A
A

Malaysia tidak isytihar perang perdagangan terhadap EU

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, Malaysia tidak melancarkan perang perdagangan terhadap Kesatuan Eropah (EU), namun hanya memaklumkan kepada dunia mengenai masalah dihadapi negara berikutan keputusan blok itu untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biofuel.

Perdana Menteri berkata, negara tidak mengisytiharkan perang perdagangan dengan EU apabila beliau menyatakan bahawa Malaysia akan melihat ke negara lain untuk membeli jet pejuang, berbanding membelinya daripada syarikat Eropah berikutan layanan tidak adil EU terhadap pengeluar minyak sawit.

Katanya, beliau hanya memberitahu dunia bahawa amat tidak adil untuk negara-negara kaya menghalang negara-negara miskin daripada menjadi lebih kaya dengan tidak membeli produk mereka, dan ianya bukan mengisytiharkan perang perdagangan.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, ada banyak pihak memohon untuk melabur di Malaysia tetapi kerajaan perlu membuat tapisan agar hanya pelaburan berkualiti diluluskan.

Perdana Menteri berkata, pelaburan yang diluluskan juga memerlukan masa untuk menjadi kenyataan dan tidak akan berlaku dalam waktu semalaman.

AADK tiada halangan kajian ketum tujuan perubatan

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak menghalang mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuat kajian terhadap ketum bagi tujuan perubatan, kata ketua pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata ketum adalah tanaman tempatan yang senang membiak tetapi telah disalah guna menjadi dadah dalam kalangan anak muda kerana dicampur dengan bahan lain seperti ubat nyamuk, air soda dan dadah lain sehingga menjadikannya bahaya.

Katanya, di negara ini, kita belum lagi mempunyai kajian yang sebetulnya dan diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentang kebaikan ketum yang memberi faedah kepada perubatan.

Buat masa ini katanya, undang-undang kerajaan menanam ketum adalah satu kesalahan namun kita tidak mempunyai halangan sekiranya ada sebarang kajian yang dilakukan tetapi mestilah mengikut peraturan di bawah KKM.

Polis rampas kereta curi RM24 juta

Didaftarkan sebagai barangan lusuh, namun hakikatnya kontena yang ingin dihantar ke negara Jepun dan Asia Barat itu mengandungi kenderaan dan alat ganti yang dicuri.

Itu antara taktik yang sering digunakan sindiket bagi membawa keluar hasil curi tersebut untuk dijual ke pasaran gelap di dua negara terbabit.

Sindiket itu mengambil kesempatan kelemahan dihadapi pihak pelabuhan yang tidak mempunyai mesin pengimbas kontena untuk menyeludup kenderaan curi yang mendapat permintaan tinggi seperti Toyota Hilux, Vellfire, Alphard, Honda CR-V dan BMW 5 Series.

Ketua Penolong Pengarah Risikan/Operasi/Rekod (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Khairuldin Saad berkata, walau bagaimanapun, kegiatan sindiket terbabit dapat ditumpaskan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada kalangan 9,101 individu yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan curi kereta di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, daripada penahanan yang dibuat, sebanyak 4,934 kenderaan dan komponen kenderaan termasuk yang cuba diseludup melalui kontena bernilai RM24 juta dirampas.

Majlis Agama Islam Perancis saman Facebook, Youtube

Salah satu kumpulan utama mewakili orang Perancis hari ini memfailkan saman ke atas facebook dan youtube kerana didakwa menghasut keganasan kerana membenarkan rakaman kejadian serangan ganas di Christchurch disiarkan menerusi platform mereka.

Majlis Agama Islam Perancis berkata firma gergasi itu telah menyebarkan bahan yang menggalakkan keganasan dan merosakkan martabat manusia.

Menurut presidennya, Abdallah Zekri, organisasi itu telah melancarkan aduan rasmi terhadap Facebook dan Youtube di Perancis.

Minggu lalu, pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat menghantar surat kepada eksekutif empat syarikat teknologi utama meminta mereka mengmabil langkah sewajarnya untuk memadamkan kandungan ganas.

AFC: Malaysia sah tak layak

Malaysia terpaksa membayar harga mahal akibat gagal menumpaskan China malam tadi selepas disahkan tidak layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC bawah 23 (B-23) di Bangkok, tahun depan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan mengesahkan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu gagal menempatkan diri dalam kalangan empat naib juara terbaik pada kempen kelayakan.

Slot tersebut sebaliknya diisi Australia, Iran, Syria dan Tajikistan.

Malaysia sebelum itu hampir meraih tiket automatik selepas mendahului China 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan J, kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun jaringan Jiang Shenglong enam minit sebelum tamat permainan meranapkan impian anak-anak buah Kim Swee untuk mengutip tiga mata apabila sekadar seri 2-2.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia