Antara Covid-19, HFMD, cacar monyet

Lebih dua tahun berperang dengan Covid-19, negara kini berdepan dengan ancaman penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dan terbaharu wabak cacar monyet. - Foto 123RF
Lebih dua tahun berperang dengan Covid-19, negara kini berdepan dengan ancaman penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dan terbaharu wabak cacar monyet. - Foto 123RF
A
A
A

SETELAH lebih dua tahun berperang dengan Covid-19, negara kini berdepan dengan ancaman penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dan terbaharu wabak cacar monyet atau ‘monkeypox’.

Walaupun belum ada kes cacar monyet yang dilaporkan di negara ini, wabak itu kini telah menular di tiga benua iaitu Benua Eropah (United Kingdom, Sepanyol, Portugal, Belgium, Perancis, Itali dan Jerman), Benua Amerika (Amerika Syarikat dan Kanada) dan Australia.

Sehingga 20 Mei 2022, lebih 100 kes telah dilaporkan, sama ada kes itu disahkan mahupun yang disyaki, dengan kebanyakan kes yang dijangkiti ini tidak melaporkan sejarah perjalanan ke negara yang diketahui endemik penyakit itu.

Situasi itu sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada ramai pihak, terutama apabila sempadan negara kini sudah mula dibuka.

Pakar Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Malina Osman umpamanya, meminta agar kawalan ketat di sempadan negara dilaksanakan sebagai usaha mengekang penularan jangkitan penyakit cacar monyet itu.

Malah, beliau turut mencadangkan agar Malaysia tidak membenarkan individu yang dijangkiti atau mempunyai simptom penyakit itu masuk ke dalam negara.

Bagaimanapun, di sebalik kebimbangan banyak pihak, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad.

Jelasnya, risiko virus ini tersebar ke Malaysia adalah rendah, kecuali sekiranya terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit dijangkiti.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan situasi penularan wabak cacar monyet dengan melakukan pemantauan kes disyaki di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan melalui laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Malah, beliau turut mengingatkan agar pengembara yang tiba di negara ini dari kawasan terdapat jangkitan cacar monyet juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Mereka yang mengalami gejala penyakit ini dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut pula, dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Pada masa sama, WHO memutuskan untuk mengadakan mesyuarat tergempar bersama pakar bagi membincangkan tentang wabak tersebut yang kini merekodkan lonjakan kes luar biasa.

Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, antara agenda mesyuarat itu adalah tentang cara penularan virus, risiko jangkitan terhadap golongan homoseksual dan biseksual serta langkah menanganinya dengan vaksin.

Beliau turut memberikan jaminan bahawa cacar monyet tidak menimbulkan risiko kepada orang ramai dan pesakit yang dirawat di hospital berada dalam keadaan baik.