'Pemain kami terlalu penat'

Yusri (kanan) bersama Abdul Azim ketika sidang akhbar selepas perlawanan Liga Premier menentang UiTM FC di Stadium Perak, di sini pada Sabtu.
Yusri (kanan) bersama Abdul Azim ketika sidang akhbar selepas perlawanan Liga Premier menentang UiTM FC di Stadium Perak, di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Faktor terlalu penat dengan majoriti pemain sama beraksi dalam 10 perlawanan berturut-turut antara punca Perak FC tewas di tangan UiTM FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Perak, di sini pada Sabtu.

Perkara itu didedahkan sendiri boleh ketua jurulatih, Yusri Che Lah yang terpaksa menggunakan pemain sama dalam perlawanan sebelum ini.

Menurutnya, kecederaan beberapa pemain utama selain penggantungan pemain menyebabkan tiada pilihan lain selain menggunakan orang yang sama untuk setiap perlawanan.

"Memang saya ada 11 saja pemain pada malam ini hanya 10 permainan cergas dan satu simpanan yang saya terpaksa gunakan. Baki yang selebihnya itu memang tak mampu untuk beraksi pun tetapi terpaksa saya gunakan.

"Hanya saya mengetahui kesukaran pemain yang ada kerana malam ini kita lihat pemain yang sama untuk 10 perlawanan majoriti yang sama kecuali penjaga gol yang sering bertukar-tukar. Sampai satu masa mereka akan burnout dan benda itu berlaku pada malam ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.

Yusri berkata, dua penggantungan membabitkan kapten pasukan iaitu Firdaus Saiyadi dan pertahanan, Nazmi Ahmad.

Menurutnya, Perak FC turut kehilangan penjaga gol, Farhan Majid dan pemain sayap, Farid Khazali disebabkan kecederaan patah bahu selain pemain simpanan masih belum pulih sepenuhnya iaitu Danish Haziq dan Nasrullah Abdul Aziz yang tetap terpaksa digunakan.

"Saya rasa peminat baru tahu benda ini sebab saya menghebahkan keseluruhannya bukan untuk mempertahankan diri saya dan cari alasan untuk menerima kekalahan tetapi ini keadaan sebenar yang saya hadapi.

"Kecederaan itu bukan kita ciptakan semasa latihan tetapi berlaku dalam perlawanan. Saya harap semua terus menyokong kami," katanya.

Sementara itu, Pengerusi XOX, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam sidang akhbar sama yakin Perak FC mampu bangkit.

Menurutnya, menjelang pusingan kedua, dijangka 13 pemain sedia ada akan dapat didaftarkan termasuk Indra Putra Mahyuddin dan Wan Zack Haikal.

Beliau juga optimis dengan kehadiran pemain utama itu, Perak mampu mencapai sasaran untuk layak ke Liga Super musim depan.

Hadir sama dalam sidang akhbar tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif One XOX, Bobie Farid Shamsudin.