Tiket ke Anfield menanti penyokong Liverpool di Malaysia

SOKONGAN PADU... Para penyokong Liverpool hadir menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2019, Liverpool menentang Tottenham Hotspur di Stadium Wanda Metropolitano, yang ditayangkan di Arena Central Piazza, KL Gateway Mall.

A
A
A

PENYOKONG Liverpool di Malaysia berpeluang menyertai himpunan tertutup terbesar di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur pada 28 Mei ini sempena siaran langsung perlawanan akhir Liga Juara-Juara, Liverpool menentang Real Madrid.

Pengarah Pembangunan Perniagaan MJ Event Management Sdn Bhd, Ridzal Ismail berkata, pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan kehadiran dalam kalangan para penyokong The Reds kendalian Jurgen Klopp yang diadakan di Arena Central Piazza, KL Gateway Mall tersebut.

“Kami menjangkakan terdapat peningkatan daripada segi kehadiran penonton kali ini, lebih-lebih lagi Liverpool sudah memenangi dua kejuaraan musim ini iaitu Piala Liga dan Piala FA. Ini membangkitkan harapan para penyokong Liverpool untuk memenangi kejuaraan Eropah untuk kali ketujuh.

“Pembelian tiket masuk secara dalam talian sudah bermula, setiap penonton akan dikenakan bayaran RM40 untuk menyertai acara yang cukup unik ini,” kata Ridzal.

IMBAS KEMBALI... Para penyokong The Reds yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2019,Liverpool menentang Tottenham Hotspur di Stadium Wanda Metropolitano, yang ditayangkan di Arena Central Piazza, KL Gateway Mall.

Tambahnya, program akan bermula pada jam 10 malam manakala sepak mula bagi perlawanan akhir di Stade de France, Paris itu adalah pada jam 3 pagi, 29 Mei, turut dibantu komuniti Liverpool Fan Club Malaysia dan mendapat sokongan daripada KL Gateway Mall sebagai penaja venue.

Dalam penganjuran kali pertama pada 2019 di venue sama sebelum ini, penganjur berjaya menarik kehadiran seramai 2,300 penonton menyaksikan Liverpool menjulang kejuaraan berprestij kelab bola sepak Eropah itu setelah menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 di Stadium Wanda Metropolitano.

Penyokong-penyokong yang hadir kali ini juga berpeluang memenangi hadiah utama cabutan bertuah untuk menyaksikan aksi Liverpool di Anfield dengan semua kos perbelanjaan ditanggung Matchday Affair Pte Ltd bernilai lebih RM12,000.

Selain itu, para penyokong The Reds juga akan dapat merasai kehangatan simulasi The Kop End, di mana nyanyian bersama lagu-lagu Liverpool akan berkumandang sepanjang acara berlangsung.