Tindakan tegas ahli PVATM terlibat perhimpunan tak diiktiraf

Sharuddin menyampaikan ucapan semasa Sambutan Ulang Tahun Veteran ATM ke-100 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada Sabtu. Foto: Bernama
Sharuddin menyampaikan ucapan semasa Sambutan Ulang Tahun Veteran ATM ke-100 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada Sabtu. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan tegas akan diambil terhadap ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan yang tidak diiktiraf oleh kepimpinan.

Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat segelintir veteran dilaporkan telah menubuhkan kumpulan untuk memperjuangkan isu kebajikan veteran yang mereka fikirkan perlu diselesaikan oleh kerajaan dengan segera, namun cara perjuangan itu berbeza antara satu sama lain.

"PVATM ingin menegaskan tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan veteran yang memperjuangkan isu kebajikan veteran secara jalanan dan tidak berhemah.

"Konsep perjuangan PVATM sangat jelas sejak dahulu hingga kini dalam memperjuangkan apa sahaja isu kebajikan veteran iaitu kami akan sentiasa mengambil pendekatan dan kaedah rundingan secara berhemah untuk secara bersama mencari keputusan 'menang-menang',” katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan Sambutan Ulang Tahun Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-100 tahun di Dataran Pahlawan Negara di sini pada Sabtu.

Sharuddin berkata demikian ketika diminta mengulas isu perhimpunan aman yang dijadual pada 6 Jun depan di ibu negara dengan jangkaan kehadiran kira-kira 5,000 veteran ATM bagi menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan kerana didakwa tidak menjaga kebajikan tentera berpencen, tidak berpencen dan diberhentikan.

Selain itu, beliau berkata, lima isu yang diperjuangkan PVATM dalam menghargai perjuangan dan pengorbanan ahlinya ialah pelarasan pencen veteran ATM, elaun sara hidup kepada veteran tidak berpencen, Lembaga Pengampunan untuk bekas tentera, menambah baik pencen terbitan kepada balu dan elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia.

Sharuddin berkata, kepimpinan dan keahlian PVATM matang dan penuh kewarasan dalam menjunjung denyut nadi veteran berteras kepada tegas dalam mengangkat isu sejagat, berhemah dalam pendekatan dan berlapang dada serta bertoleransi dalam menangani keputusan dan kekangan.

"Ditegaskan PVATM tidak pernah bertindak atau menaja mana-mana kumpulan veteran yang membuat tuntutan isu-isu veteran melalui tindakan tidak berhemah dan keterlaluan,” katanya.

PVATM merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang tertua di Malaysia ditubuhkan pada 20 Mei 1922 dengan nama Ex Services Association of Malaya oleh bekas tentera British di Malaya selepas peperangan dunia pertama.

Persatuan itu telah menjadi ahli gabungan kepada British Empire Services League pada 22 Mei 1922. PVATM kini mempunyai ahli berdaftar seramai 173,000 di seluruh negara.

Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Veteran ATM ke-100 Tahun pada Sabtu membabitkan 14 kontijen mewakili 14 negeri dengan 600 peserta. - Bernama