8 barangan keperluan tersenarai di bawah SHMMP Gawai, Kaamatan

Alexander
Alexander
A
A
A

SIBU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan lapan jenis barangan keperluan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Pesta Kaamatan di Sabah dan Gawai Dayak di Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, SHMMP untuk Pesta Kaamatan berkuat kuasa 27 Mei hingga 2 Jun dengan barangan tersenarai terdiri daripada kepak ayam, cili kering, daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Beliau berkata, SHMMP Gawai Dayak pula berlangsung antara 29 Mei dan 4 Jun dengan senarai barangan adalah ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China), kubis bulat import, cili kering, babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Katanya, SHMMP adalah untuk memastikan mereka yang meraikan kedua-dua perayaan itu terus dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup masa kini, selain bertujuan menstabilkan bekalan barangan keperluan itu di pasaran khususnya sewaktu permintaan meningkat menjelang perayaan.

"Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor terkini perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang harga dipengaruhi oleh negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau juga meminta pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga supaya melaporkan kepada KPDNHEP sama ada menerusi WhatsApp di 019-2794317/019-8488000, portal e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan di 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di 03-88826088/6245. - Bernama