Parti politik perlu bekerjasama bentuk kestabilan politik negara

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Semua parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) harus bekerjasama demi membentuk kestabilan politik di dalam negara, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, kestabilan politik penting dalam usaha negara untuk pulih daripada pandemik Covid-19.

Menurutnya, sudah tiba masanya semua parti politik melakukan pengorbanan dan mengetepikan perbezaan politik untuk mengeset semula negara.

"Parti-parti politik tidak kira siapa, BN, PH, atau PN, kita mesti cari jalan bersama. Mesti ada pengorbanan. Kalau boleh bekerjasama lebih bagus. Tidak senang, tapi itu adalah salah satu cara untuk selesaikan masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Gerakan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, di luar negara ada akta 'Confidence and Supply Act' (CSA) dan ini mungkin adalah antara salah satu penyelesaian untuk membentuk kerajaan yang stabil.

"Isu ini besar. sewajarnya mana-mana pihak yang berminat dan memikirkan kepentingan negara, duduk bersama untuk membentuk kerajaan yang stabil dan amanah," katanya. - Bernama