Harimau Muda berdepan Indonesia tanpa dua tonggak

Maloney dan Tae-yong selepas sidang media menjelang perlawanan penentuan pingat gangsa bola sepak Sukan SEA Hanoi 2021 di pejabat VFF, Hanoi pada Sabtu. - Foto Football Association of Malaysia
Maloney dan Tae-yong selepas sidang media menjelang perlawanan penentuan pingat gangsa bola sepak Sukan SEA Hanoi 2021 di pejabat VFF, Hanoi pada Sabtu. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

MALAYSIA mungkin turun tanpa dua pemain utamanya dalam perlawanan penentuan pingat gangsa acara bola sepak lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 menentang Indonesia di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi esok.

Dua tonggak tersebut ialah pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar dan penjaga gol Muhammad Azri Ab Ghani yang mengalami kecederaan ketika menentang Vietnam di separuh akhir Khamis lalu.

Pengendali skuad Bawah 23 (B-23), Brad Maloney berkata, pertarungan separuh akhir yang berlanjutan ke masa tambahan itu memberi impak tidak dijangkakan kepada pasukan termasuk kecederaan pada beberapa pemainnya.

"Ia satu perlawanan yang sukar dari segi fizikal pada malam itu dan sudah tentu mereka bermain lebih 120 minit, jadi secara fizikalnya ia amat memenatkan kepada pemain. Kami telah melakukan empat pertukaran, dengan beberapa pemain mengalami kekejangan otot, kecederaan dan lebam.

"Ada beberapa pemain tertentu yang boleh dipilih, namun kami akan terus membuat penilaian selepas latihan hari ini. Mungkin ada satu atau dua keraguan kerana Harith Haiqal adalah pemain penting, mungkin dia boleh bangkit daripada kecederaan tetapi masih ada juga keraguan, begitu juga dengan penjaga gol yang mengalami kecederaan agak teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media menjelang perlawanan penentuan pingat gangsa bola sepak Sukan SEA Hanoi 2021 di pejabat Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) di Hanoi pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Maloney berkata, pemainnya telah pulih agak baik daripada kekalahan di peringkat separuh akhir selepas menjalani proses pemulihan yang rapi, selain diberi perhatian untuk kembali cergas sepenuhnya menjelang pertembungan dengan Indonesia.

"Mereka sudah bersedia untuk perlawanan esok, apa yang kami faham pertembungan antara Indonesia dan Malaysia ini amat bermakna kepada kedua-dua negara, jadi pemain saya sudah cukup bersedia untuk perlawanan esok,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali Indonesia, Shin Tae-yong berkata, prestasi Harimau Muda sukar untuk diramal kerana ada masanya anak buah Maloney itu bermain dengan bagus tetapi kadangkala sebaliknya. - Bernama