Bawa pulang pingat gangsa: Ahmad Faizal

IMBAS KEMBALI... Kapten Harimau Muda, Muhammad Mukhairi Ajmal mengawal bola ketika menentang Vietnam pada saingan Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Viet Tri. - Foto Bernama
IMBAS KEMBALI... Kapten Harimau Muda, Muhammad Mukhairi Ajmal mengawal bola ketika menentang Vietnam pada saingan Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Viet Tri. - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberikan kata-kata semangat kepada skuad Harimau Muda agar tidak terbawa-bawa kekecewaan itu dalam perlawanan penentuan pingat gangsa selepas gagal mara ke pentas akhir acara bola sepak Sukan SEA Hanoi 2021.

Beliau berkata, skuad Bawah 23 (B-23) tahun itu perlu mengekalkan prestasi mereka apabila menentang Indonesia pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, Ahad ini.

Katanya, skuad kendalian Brad Maloney itu telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang aksi pada temasya sukan dwitahunan tersebut termasuk ketika menentang pasukan tuan rumah, Vietnam pada perlawanan separuh akhir.

"Bermain berdepan pasukan tuan rumah (Vietnam), saya rasakan mereka sudah bermain dengan baik. Saya harap mereka dapat kekalkan momentum dan semangat ini dalam perlawanan tempat ketiga dan keempat.

"Saya harap skuad negara dapat membawa pulang pingat gangsa... itu saya anggap satu kejayaan,” katanya ketika ditemui di Gimnasium Hoang Mai, venue bagi acara sepak takraw Sukan SEA Hanoi 2021, di Hanoi pada Jumaat.

Terdahulu, Ahmad Faizal mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kader dari Singapura, yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak di Sukan SEA ialah pada edisi 2011 di Indonesia ketika di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu ialah muncul naib juara edisi 2017 di Kuala Lumpur sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019. - Bernama