'Golongan tolak MN, merekalah di hujung nyawa'

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas kenyataan bahawa Muafakat Nasional (MN) kini sudah 'nyawa-nyawa ikan' sebaliknya golongan yang menolak dan mahu menguburkan penyatuan itu yang berada di hujung nyawa.

Beliau berkata demikian bagi menangkis dakwaan UMNO yang menyifatkan kerjasama MN itu ibarat 'nyawa-nyawa ikan'.

Menurutnya, MN merupakan suatu ikatan yang penting kerana ia menyatukan orang Melayu dan ummah dalam beberapa isu berbangkit.

“Dia yang nyawa-nyawa ikan, orang lain mahu kekalkan MN, saya ingat ada dua atau tiga orang saja yang tidak mahu MN. Mereka itulah yang sedang 'nyawa-nyawa ikan',” katanya pada sidang akhbar selepas hadir program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan, semua pemimpin Pas sehingga kini masih mahu mempertahankan MN berbanding pemimpin UMNO yang sering membuat kenyataan berunsur negatif.

“Saya percaya semua orang mahukan penyatuan orang Melayu dan penyatuan ummah. Dalam parti saya (Pas) semua okey, parti UMNO yang tak mahu,” ujarnya.

Pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerjasama dengan Pas menerusi MN ibarat 'nyawa-nyawa ikan' dan masa depan MN akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti.

Menurutnya, hasil perbincangan itu nanti mungkin dibawa kepada kedua-dua parti untuk diputuskan sama ada MN dikekalkan atau sebaliknya.