Krisis bekalan ayam: Tarik balik pelaksanaan kawalan harga

Ameer Ali
Ameer Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin mencadangkan agar kerajaan menarik balik pelaksanaan harga siling jualan daging ayam di dalam negara bagi menangani krisis bekalan bahan makanan tersebut ketika ini.

Beliau berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi membolehkan meningkatkan lebih banyak ketersediaan bekalan ayam di dalam pasaran negara termasuk daripada daging ayam import.

“Saya faham kerajaan hendak kurangkan inflasi dengan harga kawalan, tapi pada saya ‘availability’ (ketersediaan) itu lebih penting.

“Kalau jumlah ayam sudah banyak, harga akan turun dengan sendiri. Pelaksanaan harga kawalan tidak akan berkesan untuk jangka masa panjang,” katanya dalam satu temubual bersama Astro Awani pada Sabtu.

Beliau berkata, langkah melaksanakan harga kawalan dilihat hanya akan menganggu keadaan pasaran kerana ia turut menghalang kemasukan lebih banyak barangan import yang mampu meningkatkan ketersediaan sesuatu bahan makanan termasuk ayam.

“Memang kerajaan sudah bagi import dan tiada lagi permit import (AP). Tetapi ayam di negara jiran kita pun mahal. Kalau kita nak import ayam daripada Thailand harga dia sekarang RM9.50.

“Jadi kalau ada harga kawalan susahlah kita nak masukkan barang. Itu satu cabaran untuk peniaga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ameer berkata, tindakan memboikot dengan tidak mengeluarkan bekalan ayam yang didakwa dilakukan beberapa pengeluar tidak sepatutnya dilakukan kerana ia melibatkan keperluan makanan orang ramai.

Malah, beliau berkata, tindakan itu juga boleh mencetuskan ketidakstabilan dan berupaya menimbulkan ketakutan terhadap orang ramai serta pelabur antarabangsa.

“Ia adalah cara yang salah untuk memberikan isyarat. Saya rasa kementerian dan kerajaan kita prihatin. Kalau kita panggil menteri, dia akan dengar,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun turut meminta agar kerajaan dan pihak terbabit supaya mempercepatkan pemberian subsidi kepada penternak seperti yang dijanjikan.

“Kita faham kalau mereka tidak ada duit macam mana nak beroperasi. Jadi subsidi tolong percepatkan bayaran subsidi itu,” katanya.