APM bakal tubuh pasukan penyelamat di Pantai Hiburan

Peserta Program Retreat Latihan Penyelamat Pantai melakukan demonstrasi menyelamat mangsa lemas di Pantai Sepat pada Sabtu.
Peserta Program Retreat Latihan Penyelamat Pantai melakukan demonstrasi menyelamat mangsa lemas di Pantai Sepat pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang akan menambah satu lagi pasukan penyelamat di Pantai Hiburan, Rompin bagi memantau keselamatan pengunjung di pusat peranginan itu.

Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, pertambahan itu menjadikan tujuh lokasi peranginan yang dipantau oleh pasukan keselamatan pantai di bawah seliaan APM.

"Setakat ini, kita sudah ada enam pasukan keselamatan pantai masing-masing satu di Pantai Batu Hitam; Pantai Teluk Cempedak, Pantai Lagenda, Pekan; Taman Laut, Pulau Tioman dan dua lagi di Pantai Sepat.

"Jadi, kita bercadang untuk tambah satu lagi pasukan penyelamat pantai di Pantai Hiburan, Rompin. Penubuhan pasukan itu dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun ini atau bulan Ogos nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Retreat Latihan Penyelamat Pantai dan uji cuba surfboard APM Pahang di Pantai Sepat di sini pada Sabtu.

Program yang berlangsung selama dua hari itu disertai hampir 40 pegawai dan anggota APM dari empat daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin dan Jerantut.

Seramai 40 peserta terlibat dalam Program Retreat Latihan Penyelamat Pantai dan uji cuba surfboard APM Pahang di Pantai Sepat pada Sabtu.
Seramai 40 peserta terlibat dalam Program Retreat Latihan Penyelamat Pantai dan uji cuba surfboard APM Pahang di Pantai Sepat pada Sabtu.

Che Adam berkata, anggota penyelamat pantai akan melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan pengunjung pantai sama ada pelancongan domestik dan asing selamat ketika menjalankan aktiviti rekreasi.

Jelasnya, bantuan segera akan diberikan kepada pengunjung sekiranya berlaku kemalangan atau tragedi di sesebuah pusat peranginan.

"Mereka ini (penyelamat pantai) sentiasa bersiap siaga untuk memberi bantuan, jika terdapat kemalangan ketika menjalankan sukan pantai, sengatan ubur-ubur, lemas dan lain-lain kes," katanya.

Ditanya pemilihan Pantai Sepat sebagai lokasi latihan penyelamat pantai, Che Adam berkata, APM membuka ruang kepada komuniti belia dan remaja di sini untuk terlibat dalam program yang dilaksanakan.

Katanya, beliau mahu komuniti di Pantai Sepat menubuhkan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) bersama APM sebagai agenda kesiapsiagaan pada keselamatan.

"Komuniti di sini boleh terlibat dengan APM sebagai pasukan penyelamat pantai dan apabila berlakunya sesuatu kes kecemasan penduduk tempatan akan menjadi 'responder' pertama untuk melaporkan.

"Jika mereka (penduduk tempatan) adalah anggota keselamatan seperti APM rawatan awal boleh dibuat terlebih dahulu," katanya.